JOHOR BAHRU - Polis Johor membuka tiga siasatan berbeza termasuk kesalahan merusuh berhubung kes konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer (KM) 34, Lebuh Raya Utara Selatan Arah Selatan di Kulai di sini sehingga menghalang lalu lintas baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan kes berkenaan hampir selesai dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk nasihat seterusnya.
"Siasatan kini menjurus kepada tiga elemen iaitu Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Ini kerana pemandu pacuan empat roda dalam kejadian berkenaan telah tampil membuat laporan polis kerana mendakwa telah ditumbuk serta dipukul.
"Siasatan juga dibuat bagi kesalahan menghalang lalu lintas, kita lakukan semua serentak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial Facebook menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mewah berhenti di tengah-tengah laluan lebuh raya berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.10 petang pada 18 Mac lalu yang mana didakwa berpunca daripada perlanggaran sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan salah sebuah kenderaan mewah yang terlibat dalam konvoi berkenaan.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, sehingga kini, seramai 11 individu termasuk pemandu kepada kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah dipanggil untuk membantu siasatan.
"Semua pihak yang terlibat melalui siasatan awam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat di lebuh raya telah dipanggil untuk siasatan.
"Ada antara mereka yang kita panggil, ada yang ditahan dan ada yang telah diberikan jaminan polis," katanya.