Lapan premis gagal patuhi SOP dikompaun RM8,000

Iklan
Dr Mohd Anuar memeriksa makanan di sebuah premis di daerah Kemaman dalam operasi berkenaan.

KEMAMAN - Lapan premis dikompaun RM8,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, tindakan itu diambil menerusi Operasi Cakna Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam Negeri Terengganu Siri 1/2022 yang dijalankan selama dua hari di daerah itu.

Iklan
Iklan

Katanya, enam daripada premis berkenaan gagal menyediakan pengimbas MySejahtera manakala dua lagi melibatkan kegagalan memakai pelitup muka serta lain-lain kes berisiko.

"Sebanyak 39 premis diperiksa di bawah Ops Patuh SOP di mana lapan premis telah dikenakan kompaun berjumlah RM8,000.

Iklan

"Walaupun fasa endemik telah diumumkan bermulai 1 April depan, beberapa keperluan SOP masih perlu dipatuhi dalam mengawal peningkatan kes Covid-19 antaranya pematuhan SOP bagi protokol kesihatan seperti pemakaian pelitup muka dan penggunaan Mysejahtera," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Dr Mohd Anuar, dalam operasi lain, sebanyak 147 premis makanan telah diperiksa di mana dua daripadanya diarah tutup di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985

Iklan

"Kita turut menyita 205 barangan dengan nilai RM2,560.60 kerana telah melebihi tarikh luput dan kita akan jadikan bahan bukti pendakwaan," ujarnya.

Dr Mohd Anuar berkata, JKNT mengeluarkan RM37,250 kompaun atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang berakhir pada Khamis.

Katanya, penguatkuasaan merangkumi Ops Gomo Asap bagi penguatkuasaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Ops ‘Ugat-ugat’ (penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975), Ops ‘Kedai kite’ (penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan 2009) dan Ops Patuh SOP bagi penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).