KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2022 meningkat 2.2 peratus kepada 125.2 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong kenaikan inflasi makanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga Februari 2022 (1.9 peratus).
"Kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi negara.
"Peningkatan 3.7 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terutamanya disebabkan oleh kenaikan ketara komponen makanan di rumah yang meningkat 4.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh bahan mentah bagi penyediaan makanan seperti ayam (14.2 peratus) dan telur (13.5 peratus).
Selain itu, makanan di luar rumah turut meningkat 3.6 peratus berbanding 3.1 peratus yang dicatatkan pada Januari 2022.
Peningkatan inflasi ini telah didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan (3.9 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (3.7 peratus).
Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.2 peratus), restoran dan hotel (2.6 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.6 peratus).
Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Januari 2022, disumbangkan oleh peningkatan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.4 peratus), restoran dan hotel (0.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.3 peratus).
Mengulas selanjutnya, Mohd Uzir berkata, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.4 peratus pada Februari 2022 berbanding Februari 2021, dengan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol bertambah 3.9 peratus, 0.2 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama dalam inflasi keseluruhan.
Katanya, inflasi teras mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu serta barangan kawalan oleh kerajaan. Ia mencatatkan peningkatan 1.8 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir berkata kadar inflasi Zon Euro meningkat lebih tinggi pada Februari 2022 iaitu 5.8 peratus berbanding Januari 2022 (5.1 peratus), melepasi jangkaan pasaran iaitu 5.4 peratus.
Ini didorong oleh peningkatan 31.7 peratus dalam tenaga, diikuti makanan, alkohol dan tembakau (4.1 peratus), barangan perindustrian bukan tenaga (3.0 peratus) dan perkhidmatan (2.5 peratus).
"Kadar inflasi di Amerika Syarikat meningkat kepada 7.9 peratus pada Februari 2022, tertinggi sejak Januari 1982,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan pengangkutan meningkat 3.9 peratus berikutan kesan asas yang lebih rendah disebabkan penetapan harga siling Petrol Tanpa Plumbum RON95 bermula Mac 2021 (RM2.05) dan masih tinggi berbanding harga purata RM1.96 per liter pada Februari 2021.
Selain itu, harga purata Petrol Tanpa Plumbum RON97 turut meningkat kepada RM3.21 per liter berbanding RM2.26 per liter pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan harga minyak dunia dan konflik antara Ukraine dan Rusia mungkin menjejaskan rantaian bekalan merentasi ekonomi global.
"Ini akan memberi implikasi ke atas kos pengangkutan dan inflasi negara. Pada masa ini, kerajaan masih mengekalkan harga minyak Petrol Tanpa Plumbum RON95 dan diesel bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak di pasaran global,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, IHP bagi kesemua negeri mencatatkan kenaikan dengan dua negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional iaitu 2.2 peratus, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya (2.9 peratus). - Bernama