Pegawai polis 7 kali tolak rasuah terima penghargaan

Iklan
Razali (kiri) menyampaikan sijil penghargaan SPRM kepada SThyagaraj ketika sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang pada Jumaat.

MELAKA - Berpaksikan kepada integriti dan prinsip hidup menjadikan seorang anggota polis menjauhi dan menolak sebarang salah laku rasuah biarpun pernah disogok untuk menerima wang tunai RM10,000.

Inspektor Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, S Thyagaraj berkata, bukan sekali diumpan, namun berdepan insiden terkutuk itu sebanyak tujuh kali bagi menutup beberapa kes jenayah termasuk kes dadah sejak berada dalam pasukan polis kira-kira 18 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biarpun ditawarkan wang ringgit, namun beliau tidak akan sesekali menggadaikan maruah dan pasukan beruniform itu meskipun segelintir masyarakat masih memandang sinis anggota polis.

"Kita ada harga diri dan saya juga bersyukur sentiasa dijauhi sikap tamak dan mementingkan diri.

Iklan

"Ingatlah tak semua polis yang 'menerimanya' sedangkan ramai yang menolak dan anti rasuah," katanya selepas menerima sijil Penghargaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Melaka ketika sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Jumaat.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, beliau bermula dengan jawatan rendah sebagai konstabel dan semangat integriti dalam diri menjadi benteng kepada perbuatan yang boleh mencemarkan nama pasukan polis.

Iklan

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, penghargaan yang diberikan SPRM kepada anggota pasukan itu sekali gus melakar sejarah sambutan Hari Polis pada tahun ini.

Menurutnya, nilai integriti dan bebas yang ditunjukkan mereka wajar dicontohi anggota lain dalam memerangi rasuah yang menjadi musuh utama negara pada saat ini.

Turut menerima sijil penghargaan SPRM, Koperal Mohd Akmal Ahmad yang bertugas di kem komandan IPK Melaka.