Konflik Ukraine- Rusia: Berkecuali jalan terbaik negara kecil

Iklan
Azmi

KUALA LUMPUR - Pendekatan berkecuali yang diambil negara-negara kecil di Asia Tenggara termasuk Malaysia di sebalik pertembungan kuasa-kuasa besar adalah jalan terbaik bagi mengelakkan konflik seperti yang berlaku antara Rusia dan Ukraine, kata penganalisis.

Pakar Geostrategi Profesor Dr Azmi Hassan berkata, negara-negara kecil tidak perlu memihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya perlu pandai menggunakan keadaan untuk menstabilkan geopolitik di kawasan masing-masing.

Iklan
Iklan

Ketika dihubungi Bernama, Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, strategi berkecuali Asean terbukti berkesan dengan kestabilan di Laut China Selatan tanpa sebarang konflik fizikal, walaupun berlaku percaturan dua kuasa besar di rantau ini iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Ini berbeza dengan sebelah Eropah Timur, Ukraine terlampau berpihak kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sebelah sahaja dan tidak berkecuali, jadi ini yang menimbulkan kemarahan Rusia.

Iklan

"Strategi Indo-Pasifik Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk pujuk negara di rantau ini termasuk Asean untuk menyebelahi AS dan sasaran mereka adalah China, sama juga strategi NATO sasarannya adalah Rusia.

"Tetapi berbeza dengan Asean, kita tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak dan mengatakan kita nak kedua-dua kuasa besar. Walaupun Asean kecil, kita mampu menstabilkan rantau Indo-Pasifik,” katanya.

Iklan

Mengenai kebimbangan bahawa tindakan Presiden Rusia Vladimir Putin menceroboh Ukraine dan sebelum itu Semenanjung Crimea akan mendorong kepada satu bentuk penjajahan era baharu, Azmi berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu memandangkan konflik berkenaan ada kaitan dengan sejarah kedua-dua negara.

"Perbalahan ni bukan bermula sebulan yang lepas, ianya bermula sudah lama bukan sahaja sejak 2014 (Rusia menyerang Semenanjung Crimea), tetapi jauh ke belakang. Ini bukan penjajahan, tetapi konflik antara dua kuasa besar iaitu NATO dengan Rusia di Eropah Timur,” katanya.

Tambahnya, tindakan Rusia menyerang Ukraine juga adalah untuk memberi amaran kepada negara lain di Eropah Timur termasuk Finland dan Sweden supaya tidak menyertai NATO, namun ia dilihat tidak menjadi.

Azmi berpandangan apa yang pasti perang berkenaan akan membawa perubahan geopolitik di Eropah Timur jika negara-negara yang selama ini mengambil sikap berkecuali, memikirkan kembali strategi mereka selepas melihat tindakan Rusia.

"Tetapi saya lihat strategi Biden dan pemimpin Eropah lain menjadi kerana mereka mahu lebih banyak negara di Eropah Timur menyertai NATO.

"Rakyat Finland mendesak supaya Perdana Menteri mereka merisik NATO, begitu juga dengan Sweden, sudah ada ura-ura mereka memerlukan kuasa besar setelah melihat apa yang berlaku terhadap Ukraine.

"Jadi dalam hal ini, akan berlaku perubahan geopolitik kerana negara-negara kecil atau selama ini berkecuali akan menyertai satu daripada kuasa besar yang ada di kawasan mereka,” katanya.

Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari, dilaporkan meragut nyawa lebih 800 orang awam, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menyatakan angka itu mungkin lebih tinggi.

Sementara itu, lebih 3.27 juta orang juga dilaporkan telah melarikan diri ke negara jiran. - Bernama