Harap kerajaan umum SOP peralihan ke fasa endemik lebih awal

Iklan
Chiang Kok

KUALA LUMPUR - Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (MSMA) berharap kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi peralihan ke fasa endemik lebih awal agar perniagaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan.

Presidennya, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, walaupun peralihan kepada fasa endemik tersebut merupakan berita baik kepada operasi perniagaan, namun mereka memerlukan masa yang mencukupi untuk memahami dan mematuhi SOP baharu.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan kepada pengalaman kami sebelum ini, SOP diumumkan hanya 24 jam sebelum pelaksanaannya, menjadikan sukar kepada kami untuk melaksana dan menyesuaikan diri dengannya,” katanya.

Chiang Kok berkata demikian sebagai ahli panel semasa sesi perbincangan meja bulat hibrid Pasukan Petugas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) mengenai ‘Ekonomi Pasca Pandemik, Dasar Awam, dan Syarikat Berkaitan Kerajaan’ di sini, pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Bersama Pemudah Datuk Andy Seo Kian Haw berkata pasukan petugas khas itu amat menyedari bahawa perniagaan dan industri Malaysia berdepan dengan pelbagai halangan dalam usaha menuju pemulihan.

"Tanpa aktiviti rancak perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi, tidak akan berlaku pemulihan ekonomi negara yang mampan dan meluas bagi menambah baik kebajikan Keluarga Malaysia," katanya dalam ucapan alu-aluan beliau.

Iklan

Seo berkata perbincangan meja bulat itu adalah peluang yang tepat pada masanya bagi perniagaan dan industri untuk memberikan maklum balas mereka mengenai situasi terkini mereka, cabaran dan isu yang dihadapi dan cara-cara untuk menanganinya.

Menurutnya, Pemudah sentiasa proaktif menangani cabaran yang berkembang dan mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi, mengurangkan kesan teruk pandemik terhadap perniagaan dan rakyat, dan mempercepat pemulihan ekonomi.

"Sepanjang dua tahun lepas, pandemik telah memangkinkan perubahan transformasi yang besar dalam menjalankan perniagaan di Malaysia dan juga di dunia.

"Rantaian bekalan terganggu, kos meningkat, permintaan produk dan perkhidmatan berkurangan dan kekurangan pekerja mahir dan juga tidak mahir adalah satu cabaran besar; manakala pendigitalan menjadi semakin penting dalam menentukan sama ada perniagaan cukup kompetitif untuk meneruskan kelangsungan hidup atau berkembang,” katanya. - Bernama