TMESA sumbang 23 unit komputer kepada SMK Tengku Mahmud

Iklan
Muhammad Nasir (kanan) menyerahkan sumbangan komputer kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tengku Mahmud, Mohammed Iskandar Mahabat Khan (dua dari kiri) dalam majlis yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu mengambil inisiatif memberikan sumbangan 23 unit komputer kepada sekolah tersebut.

Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ia susulan lawatan persatuan ke sekolah tersebut pada Januari lalu yang mendapati keadaan komputer di makmal komputer yang sudah tidak boleh digunakan lagi sekali gus mengganggu proses pembelajaran pelajar.

Iklan
Iklan

"Selepas kita mengambil alih persatuan ini dan melantik ahli jawatankuasa, kita pergi ke sekolah dan berjumpa pengetua. Kita dapati sekolah berada dalam keadaan amat daif daripada segi infrastruktur dan prasarana terutama daripada segi kelengkapan seperti komputer dan pendingin udara.

"Jadi, ahli persatuan berbincang untuk memastikan masalah-masalah ini dapat dibantu dan diatasi. Buat masa sekarang, kita beli 23 unit komputer dan diserahkan kepada sekolah hasil daripada sumbangan ahli-ahli kita," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurut Muhammad Nasir, beliau berbangga dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli persatuan itu untuk membantu membangunkan kembali sekolah tersebut.

"TMESA ini tidak banyak wang, tetapi persatuan ini mempunyai orang yang sanggup bekerja dan orang yang boleh mencari sumbangan dan sebagainya. Namun, untuk jangka masa panjang, saya mengharapkan pihak berwajib dapat melihat apa kekurangan yang berlaku di sekolah ini," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Keselamatan, Kesihatan dan Ketenteraman Awam TMESA, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman berkata, persatuan itu membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk membeli 23 unit komputer.

Beliau berkata, tindakan segera diambil oleh TMESA untuk membantu pihak sekolah kerana proses pembelajaran dan pengajaran untuk subjek Sains Komputer tidak dapat dijalankan kerana kerosakan komputer.

"Kita juga telah cuba dapatkan bantuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Besut dan kita menghargai keprihatinan pihak mereka. Bagaimanapun, kita faham mereka menghadapi kekangan daripada segi peruntukan kewangan dan mereka memaklumkan untuk dapatkan peruntukan akan memakan masa yang lama.

"Jadi, kami di pihak TMESA berpendapat satu tindakan segera perlu diambil untuk memastikan pembelajaran pelajar tidak tergendala lagi kerana kerosakan komputer. Sebab itu pihak TMESA berusaha mencari dana untuk membeli komputer dan diserahkan kepada pihak sekolah," katanya.

Muhammad Razif turut menjelaskan beberapa usaha lagi sedang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Ekonomi TMESA untuk mencari dana sekali gus membantu pihak sekolah.