JUARA Eropah, Itali sekali lagi terpaksa menerima keperitan apabila gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia dalam dua edisi berturut-turut.
Kekalahan 0-1 kepada Macedonia Utara dalam aksi separuh akhir playoff di Stadium Renzo-Barbera, Palermo pada awal pagi Jumaat menutup terus pintu buat Itali menempah tiket ke Qatar.
Kegagalan itu umpama mengulangi skrip empat tahun lalu apabila Itali gagal melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia selepas tewas kepada Sweden dalam aksi playoff.
Ia situasi yang cukup memalukan Itali yang tidak pernah terlepas menyertai Piala Dunia sejak 1958 dan lebih buruk, mereka baru sahaja dimahkotakan sebagai juara Euro sembilan bulan lalu.
Pengendali Itali, Roberto Mancini bagaikan kehilangan kata-kata dalam sidang media selepas kekalahan memalukan anak-anak buahnya itu kepada Macedonia Utara.
"Sukar untuk saya berkata apa-apa ketika ini. Pada musim panas lalu pasukan kami penuh dengan kegembiraan tetapi sekarang pasukan kami penuh dengan kedukaan.
"Saya selaku jurulatih adalah individu pertama yang harus dipersalahkan, bukan pemain. Mereka memiliki masa depan yang baik kerana mereka merupakan pemain yang berkaliber.
"Kekecewaan ini terlalu besar untuk saya bercakap mengenai masa depan saya. Apa pun kami harus menerima kekalahan ini dengan hati terbuka,” katanya.
Tonggak pertahanan Itali, Giorgio Chiellini pula berharap kegagalan The Azzurri menyambar tiket Piala Dunia 2022 tidak menjejaskan kedudukan Mancini.
"Sebenarnya saya cukup berbangga dengan pasukan ini sejak dibimbing Roberto Mancini. Cuma kali ini harapan kami ke Piala Dunia telah berakhir.
"Kami akan kembali bangkit dengan lebih kuat. Kami akan beraksi semula pada Euro sebagai penyandang juara dan menyasarkan layak ke Piala Dunia akan datang,” ujarnya.