PGA perketat kawalan sempadan negara menjelang 1 April

Iklan
Azhari (kanan) bersama anggota Batalion 7 PGA Kuantan membuat tinjauan di Jambatan Muhibbah, Rantau Panjang yang menghubungkan Malaysia-Thailand.

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan memberi jaminan akan mengawal ketat sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi memastikan ia tidak dicerobohi walaupun kerajaan memutuskan hanya dua pintu masuk iaitu Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Wang Kelian (Perlis) akan dibuka bermula 1 April ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, langkah itu bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan berkait penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang sebaik mungkin.

Iklan
Iklan

"Semua anggota PGA sudah ditempatkan di pos-pos kawalan bagi melaksanakan rondaan dan penugasan mengawal sempadan menerusi Op Benteng Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, selain rondaan berkala seperti berjalan kaki, menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda, pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di bawah tanggungjawab PGA akan turut perhebatkan lagi.

Iklan

Beliau berkata, setiap kenderaan yang melalui SJR itu akan diperiksa dengan teliti dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Batalion 7 PGA Kuantan memberi jaminan akan mengawal ketat sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Azhari berkata, laluan-laluan 'panas' yang sering digunakan oleh 'tentera semut' untuk memunggah barangan seludup dan juga PATI juga telah dikenal pasti.

Iklan

"Kita turut menggunakan dron untuk memantau pergerakan 'tentera semut' melalui udara sekali gus memudahkan serbuan dilakukan.

"Pada masa sama, kami akan berpadu tenaga dengan agensi penguat kuasa lain untuk memastikan sempadan negara berada pada tahap terbaik," katanya.

Dalam perkembangan lain Azhari berkata, memasuki fasa endemik 1 April ini semua anggota diingatkan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, setiap anggota yang selesai melaksanakan penugasan terutama menangkap PATI perlu menjalani ujian saringan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.