PR1MA fokus bangunkan rumah M40 luar bandar

Iklan
PR1MA akan memberi fokus kepada pembangunan rumah golongan M40 luar bandar bagi memastikan golongan tersebut mendapat akses kepada perumahan mampu milik yang berkualiti. - Gambar hiasan

KANGAR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memberi fokus kepada pembangunan rumah golongan M40 luar bandar bagi memastikan golongan tersebut mendapat akses kepada perumahan mampu milik yang berkualiti.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata usaha ini adalah selari dengan aspirasi ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’ yang menjadi wawasan kerajaan, di samping menjamin kehidupan masa depan golongan tersebut.

Iklan
Iklan

"Dulunya penubuhan PR1MA ini menyasarkan miskin bandar, tetapi kena ingat status M40 di luar bandar tetapi tidak ada rumah, menyewa, maka kita akan buka tawaran ini kepada mereka, insya-ALLAH,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pembangunan rumah untuk M40 di luar bandar boleh dibuat dalam kawasan seluas lima ekar sahaja berbanding projek PR1MA sebelum ini yang meliputi keluasan 20 hingga 40 ekar.

Iklan

Dalam pada itu Fathul Bari berkata, PR1MA menyasarkan untuk membina sebanyak 100,000 unit rumah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"(Setakat ini) projek PR1MA seluruh Malaysia dalam senarai kita ada 61 projek yang melibatkan lebih kurang 49,000 unit di seluruh negara. Sebahagiannya telah diduduki, sebahagian dalam pembinaan dan sebahagian kecil baru dapat kelulusan," katanya.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, sempena AKM, PR1MA turut menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia menerusi PR1MA STEP (SAKU Traning and Employment Programme) selaras dengan inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini.

"Mereka yang ditawarkan pekerjaan akan ditugaskan sama ada di ibu pejabat PR1MA di Ara Damansara atau di Pejabat Wilayah PR1MA dengan tempoh kontrak selama satu tahun dengan tambahan satu tahun lagi dalam bentuk pembaharuan kontrak,” katanya. - Bernama