Prestasi Zii Jia konsisten selepas berstatus pro

Iklan
Prof Dr Mohd Sazili (dua, kiri) bersama Rashid (dua, kanan) dan Dekan Fakulti Pendidikan UiTM Prof Madya TS Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris (kiri) pada Majlis Pelancaran 'Berjiwa Juara, Memori 92' di Hotel UiTM Kampus Puncak Alam pada Jumaat. - Foto Bernama

PRESTASI pemain badminton profesional negara Lee Zii Jia disifatkan berada pada tahap konsisten walaupun tidak berjaya mempertahankan kejuaraan Seluruh England 2022 baru-baru ini.

Legenda perseorangan badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata, Zii Jia bermain dengan baik dan tidak jauh daripada prestasinya sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Kalau perkembangan Lee Zii Jia, tengok di Seluruh England dia main agak bagus. Di Terbuka Jerman saya tidak berapa tengok (perlawanan), tapi nampak prestasinya konsisten. Dia kalah di separuh akhir (Seluruh England) tidak jauh beza (sebelum bertukar kepada status pemain profesional) dengan prestasi beliau sekarang ini,” katanya.

Beliau mengulas berhubung prestasi Zii Jia selepas selepas tewas di tangan pemain dari India, Lakshya Sen dalam aksi separuh akhir dan gagal ke final Kejohanan Terbuka Jerman selepas dikalahkan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berjiwa Juara, Memori 92 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di Shah Alam pada Jumaat yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.

Rashid berkata, tahap prestasi Zii Jia mungkin disebabkan tekanan berbeza dilaluinya di luar dan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun pemain itu perlu berdikari serta berfikir lebih profesional bagi meningkatkan kerjayanya.

Iklan

Mengulas berhubung prestasi Ng Tze Yong yang kandas di pusingan kedua perlawanan badminton Terbuka Switzerland, Rashid berkata, pemain itu masih baharu namun prestasinya sedang meningkat.

"Walaupun dia kalah tetapi dia kalah dalam set penentu. Jadi, nampak dia punya peningkatan dan kita tidak boleh jangka dia terus menang. Sedikit demi sedikit dia belajar dari situ (kekalahan). Saya rasa itu lebih bagus untuk timba lagi pengalaman.

"Namun, saya tengok dia antara pemain pemain yang bagus untuk disandarkan nanti bagi mendapatkan mata untuk kejuaraan Piala Thomas ataupun acara berpasukan,” katanya.

Terdahulu, Fakulti Pendidikan UiTM Kampus Puncak Alam memeterai perjanjian kerjasama dengan Kelab Badminton RS kendalian Rashid bagi membangunkan satu Modul Asas Kejurulatihan Badminton yang akan digunakan sebagai sebahagian dari kursus pengajian penuntut fakulti bermula esok.

Mohd Sazili berkata, objektif utama kerjasama itu adalah bagi melahirkan guru-guru terlatih dalam bidang kejurulatihan badminton, secara tidak langsung boleh diguna pakai ketika mengajar di sekolah, untuk melahirkan bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi. - Bernama