SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang perlu dipercayai serta ditepati dengan segala usul yang dibawa oleh kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh berkata, apabila berlakunya sebuah perjanjian dalam MoU itu, mereka seharusnya menerima atau bertindak berkecuali dan bukan menolak usul itu.
Menurutnya, tindakan pembangkang itu sedikit sebanyak menjatuhkan moral dan mengakibatkan ketidakstabilan politik.
"Macam kahwin kita berjanji dengan isteri kita, setia bersama tapi apabila perjanjian itu dicabuli macam mana?
"Jadi kalau pihak pembangkang itu menghormati MoU yang telah ditandatangani untuk memastikan kestabilan politik ini berlaku, pastinya kalau tidak menolak pun buatlah berkecuali, sekurang-kurangnya memberi satu makna.
"Kita tidak bolehlah kata perjanjian itu bukan kitab suci, bila ini berlaku sedikit sebanyak menjatuhkan moral dan mengakibatkan ketidakstabilan politik,” katanya pada Wacana Sinar edisi ke-322 yang membincangkan tajuk 'Langgar MoU, PRU15 menanti' pada Jumaat.
Turut menjadi panel, Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz; Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.
Kegagalan kerajaan itu mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.
Melalui undi yang dijalankan, hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.