BEREGU lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Switzerland 2022 di Basel, pada Jumaat.
Aaron-Wooi Yik, yang juga pilihan kedua kejohanan, hanya memerlukan 33 minit untuk menewaskan beregu dari Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel, 21-11, 21-13, sekali gus meneruskan misi memburu kejuaraan sulung mereka pada peringkat antarabangsa.
Dalam set pertama, Aaron-Wooi Yik bermula cemerlang apabila mudah mengutip mata demi mata bagi mengatasi beregu pilihan ketujuh tersebut.
Skrip sama berulang pada set kedua apabila Lamsfuss-Seidel terus-menerus melakukan kesilapan di jaring dan peluang tersebut digunakan beregu negara untuk muktamadkan kemenangan.
Gandingan negara yang dibentuk sejak 2017 itu belum pernah meraih sebarang gelaran antarabangsa dengan pencapaian terbaik mereka sekadar naib juara pada Terbuka SaarLorLux 2018, Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.
Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan sama ada rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau beregu dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang akan berentap pada pusingan suku akhir itu.
Dalam pada itu, perseorangan wanita negara S Kisona gagal mengekalkan momentum kemenangan ke atas perseorangan nombor satu dunia Saina Nehwal dari India, apabila tewas pada pemain Thailand, Supanida Katethong, 11-21, 12-21.
Nasib sama turut menimpa pasangan beregu wanita Anna Cheong-Teoh Mei Xing apabila kecundang 18-21, 18-21 di tangan beregu Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau.
Satu lagi pasangan beregu wanita negara Lim Chiew Sien-Vivian Hoo akan turun beraksi pada peringkat suku akhir, lewat malam ini.