Buka sempadan: Pemandu teksi bersyukur

Iklan
Kenderaan teksi yang berada di ruangan Teksi JB-Singapura di Terminal Bas Larkin Sentral di sini, pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Drus, Yaacob, Azali)

JOHOR BAHRU - Kira-kira 200 pemandu teksi di bandar raya ini melahirkan rasa syukur apabila sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka semula 1 April ini.

Setiausaha Persatuan Teksi Cab Johor Bahru-Singapura, Mohd Drus Cheng, 63, berkata, pengumuman itu memberi kelegaan kepada pemandu teksi selepas hampir dua tahun sempadan negara ditutup.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebaik pintu antarabangsa di negeri Johor ditutup pada 2020, hampir separuh pemandu teksi telah memulangkan teksi sama ada kepada persatuan atau koperasi untuk mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Bagaimanapun, kami berharap agensi termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat menyegerakan proses permohonan permit rentas sempadan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral di sini pada Jumaat.

Iklan

Seorang pemandu teksi, Yaacob Palil, 83, pula berharap SOP yang akan diperkenalkan nanti tidak terlalu ketat sehingga menyukarkan pergerakan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka.

"Apabila dibenarkan masuk ke Singapura semula untuk mengambil dan menghantar penumpang, ini akan memberi nilai tambah buat pendapatan harian kami,” katanya yang sudah menjadi pemandu teksi sejak tahun 1965.

Iklan

Seorang lagi pemandu teksi, Azali Ahmad, 58, berharap proses permohonan permit rentas sempadan kedua-dua negara dipermudah dan disegerakan berikutan golongan itu sudah lebih dua tahun menderita.

Katanya, trip menghantar penumpang pergi balik dari Johor Bahru ke Singapura amat dinantikan pemandu teksi kerana ia menawarkan bayaran lumayan iaitu lebih RM200.

"Pendapatan sebagai pemandu teksi bandar raya tidak mencukupi dan terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing,” katanya.