LEGENDA WWE Triple H mengumumkan persaraannya daripada menyertai sebarang pertandingan gusti susulan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
WWE dalam kenyataan memaklumkan, Triple H, atau nama sebenarnya Paul Levesque menghadapi masalah jantung dan telah pun menjalani pembedahan pada September tahun lalu.
Menurut WWE, Levesque, 52, membuat pengumuman tersebut menerusi temu bual bersama ESPN pada Jumaat.
Beliau juga membuat pendedahan telah dipasang alat ‘difribilator’ di bahagian dada berhampiran jantungnya.
Penggusti yang turut dikenali sebagai ‘The Game’ itu pernah meraih kejuaraan dunia sebanyak 14 kali.
Dilahirkan serta dibesarkan di New England, Amerika Syarikat, Levesque memulakan kariernya sekitar awal 1990-an di bawah nama ‘Terra Ryzing’.
Beliau kemudiannya menyertai WCW pada 1994 menggunakan nama gelanggang Jean-Paul Levesque sebelum dijenamakan semula di WWF (kini dikenali sebagai WWE) sebagai Hunter Hearst Helmsley dan seterusnya Triple H.
Levesque juga terkenal dengan pasukannya, D-Generation X dan sering berganding dalam aksi ‘tag team’ bersama Shawn Michaels.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Stephanie McMahon, anak kepada Pengerusi dan CEO WWE, Vince McMahon.
Selain bergiat dalam gusti, Levesque juga merupakan Naib Presiden Eksekutif (Bakat Global) di WWE. - Awani