KUANTAN - Kerajaan negeri sedia membantu Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) dalam memajukan sektor perladangan, pertanian dan penternakan di negeri ini, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, selain sokongan dan dokongan, kerajaan negeri juga sedia mempertimbangkan permohonan Pasfa khusus dalam mendapatkan tanah bagi menambah keluasan ladang sawit yang diusahakan dan projek pertanian lain.
"Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah menyelesaikan permohonan tanah ladang di Gambang yang dipohon Pasfa sejak 15 tahun lalu.
"Sekiranya ada keperluan tanah baharu, Pasfa boleh mencari tanah sesuai dan mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pasfa 2021 di sini pada malam Jumaat.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pasfa,Datuk Zamri Yaakob.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga tiada masalah untuk meluluskan permohonan tanah ladang kerana tanah-tanah yang dimajukan Pasfa bakal memberi manfaat kepada semua ahlinya.
Katanya, prestasi Pasfa kini berada pada landasan sangat baik apabila mencatatkan keuntungan melalui aktiviti ekonomi terasnya dalam sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini.
"Kedudukan kewangan pertubuhan itu juga baik hingga mampu menyumbang RM1.6 juta kepada kerajaan negeri dan membayar dividen kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang lain.
"Kita yakin, Pasfa mampu terus berkembang dan mencapai prestasi lebih baik melalui aktiviti ekonomi terasnya selain perniagaan lain dalam sektor pertanian dan penternakan," katanya.
Tambah beliau lagi, dalam keadaan ekonomi ketika ini begitu progresif dan dinamik, Pasfa perlu memiliki perniagaan teras untuk menjamin masa depannya.
"Pasfa juga perlu mencuba bidang baharu selain beralih kepada penggunaan teknologi dan mesin terutama dalam aktiviti perladangan untuk meningkatkan pengeluaran dan keuntungan," katanya.
Sementara itu, Zamri dalam ucapannya berkata, Pasfa menghargai atas bantuan kerajaan negeri dalam penyelesaian pemilikan tanah Ladang Gambang yang telah tertangguh selama lebih 15 tahun dan kelulusan tanah seluas lebih 196 hektar di Chegar Perah, Lipis bagi penanaman sawit.
"Kami juga turut memohon untuk mendapatkan pengurangan premium tanah dan perkara ini telah mendapat sokongan Wan Rosdy.
"Perrmohonan tanah lain turut dibuat pihak Pasfa selaras dengan hasrat kami untuk mendapatkan keluasan ladang sawit yang mencukupi bagi pembinaan sebuah kilang sawit," katanya.