Pekebun kecil dapat manfaat jika ketum dibenar eksport

Iklan
Mahdzir Khalid

KUALA NERANG - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersedia mengkomersialkan industri ketum sebagai punca pendapatan sampingan kepada pekebun kecil sekiranya kerajaan meluluskan akta membenarkan ketum dieksport.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya terdapat akta dalam negara yang membenarkan industri ketum dilakukan secara sah di sisi undang-undang dan tidak lagi menyalahi perundangan negara, ia wajar dimanfaatkan untuk menambah pendapatan pekebun kecil.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurutnya setakat ini kerajaan belum memutuskan cadangan membenarkan daun ketum dieksport ke luar negara bagi tujuan perubatan seperti yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Kedah.

"Kalau ketum sudah boleh diusahakan secara sah, dan ada pendapatan kenapa tidak. Kalau dapat jual sekilogram berpuluh ringgit dan ia sah dari segi undang-undang, tidak menjadi kesalahan boleh tambah pendapatan peserta,” katanya pada sidang akhbar selepas program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur di Dewan Istiqlal, Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah di sini pada Sabtu.

Iklan

Mahdzir berkata, pihaknya percaya buat masa ini perkara itu sedang dibincangkan oleh pihak-pihak berkaitan.

"Saya percaya agensi kerajaan terlibat sedang bincang, antaranya pihak berkuasa kesihatan yang ada kaitan dengan keselamatan, kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa negeri, banyak pihak yang terlibat akan bincang sebab kerajaan belum buat keputusan,” katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, suatu hari kelak perkara itu pasti akan diputuskan oleh kerajaan memandangkan banyak pihak telah membangkitkan isu berkenaan.

"Kajian-kajian telah dibuat di seluruh dunia dan kebanyakan negara sudah mempunyai kajian berkaitan bagaimana ketum boleh digunakan dalam bidang perubatan. Namun saya ingat biarlah perkara itu diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mahdzir turut berharap suatu keputusan yang positif dapat diputuskan setelah semua aspek dipertimbangkan.

"Sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan, harap yang positif lah tentang ketum,” ujarnya.

Pada 2016, kerajaan pernah menolak cadangan RISDA untuk mengkomersialkan ketum sebagai punca pendapatan sampingan kepada pekebun kecil getah.

Mahdzir (enam dari kanan) selepas menyerahkan sumbangan khas persekolahan daripada Yayasan RISDA bernilai RM66,000 kepada 330 anak pekebun kecil RISDA di daerah Kuala Nerang

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu, memaklumkan perkara itu diputuskan setelah mendengar taklimat RISDA dan mendapati mudaratnya lebih besar berbanding manfaat.

Ketika itu, kementerian turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk kabinet, KKM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, RISDA tiada masalah untuk membantu mana-mana pihak sekiranya industri ketum dijadikan industri yang sah dalam negara.

"Waktu itu (2016), kerajaan tolak lagi, insyaAllah kalau sudah sah, RISDA boleh bantu. Kita tengok macam mana keadaan nanti,” katanya.

Pada Rabu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad mahu cadangan kerajaan negeri untuk mengeksport daun ketum dilihat dari sudut positif bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk terutamanya luar bandar.

Menurutnya, cadangan itu dapat meningkatkan ekonomi usahawan tani dan sumber perniagaan baharu kepada rakyat di pedalaman dengan penetapan akta dan prosedur operasi standard (SOP) bagi penanaman dan penjualan ketum.

Pada 16 Mac, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.

Ketika ini terdapat 552,000 pekebun kecil di seluruh negara yang mengusahakan tanaman getah seluas 1.1 juta hektar.