JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda UMNO dan MCA Johor serta Ketua Pemuda MIC Kebangsaan antara 10 muka baharu yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin memegang portfolio Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri.
Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon yang merupakan ADUN Yong Peng pula dipilih menjadi Exco Kesihatan dan Perpaduan manakala ADUN Tenggaroh yang juga Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K Raven Kumar dilantik sebagai Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri.
Mohd Hairi yang ditemui mengakui portfolio dipegang adalah tanggungjawab besar perlu digalasnya.
Beliau berkata, akan berusaha bersama barisan Exco dengan sokongan Menteri Besar untuk berkhidmat kepada negeri dan bangsa Johor.
"Saya akan fokus kepada pemulihan ketika pandemik Covid-19 terutama melibatkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan golongan peniaga kecil termasuk belia.
"Projek-projek khas berkaitan belia, sukan dan pembangunan usahawan untuk tahun ini akan dilihat semula dengan perancangan lebih baik untuk pembangunan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini pada Sabtu.
Tian Soon pula berterima kasih kepada Menteri Besar Johor kerana mempamerkan semangat kerjasama Barisan Nasional (BN) dalam barisan exco yang dipilih dengan melantik dua wakil MCA.
Katanya, seorang lagi wakil MCA iaitu ADUN Paloh, Lee Ting Han dilantik sebagai Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri.
"Pastinya menjadi Exco merupakan tanggungjawab yang berat. Tumpuan saya tentunya fasa endemik dan persiapan bagi pembukaan sempadan Malaysia- Singapura pada 1 April ini.
"Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jabatan dan pegawai berkaitan di peringkat negeri untuk membuat perancangan bagi negeri Johor beralih kepada fasa endemik.
"Seterusnya bagi pembukaan sempadan Malaysia- Singapura, saya akan pastikan Johor mampu melakukan persiapan yang terbaik di pintu masuk negara terutama Tambak Johor," katanya.
Sementara itu, K Raven Kumar bersyukur kerana dilantik sebagai Exco yang akan membantu pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar.
"Terima kasih di atas pelantikan saya sebagai Exco. Saya akan berusaha memberi khidmat yang terbaik kepada negeri dan bangsa Johor," katanya.