GEORGETOWN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui teruja dengan sambutan yang ditunjukkan penduduk di Pulau Pinang khususnya kaum Cina dalam lawatan dua hari ke negeri ini bermula Jumaat.
Menurutnya, penerimaan masyarakat di sini sangat positif dan mesra ketika menyambut kehadirannya di beberapa tempat terutamanya kawasan Jelutong dan Jeti Chew di sini.
Beliau berkata, lawatannya ke Pulau Pinang tidak ada kena mengena dengan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) sebaliknya dijemput oleh masyarakat tempatan di sini.
"Saya dijemput oleh masyarakat tempatan dan tidak ada kena mengena dengan PCCC..Entah apa pasal di nak buat kenyataan sedemikian sedangkan penerimaan di peringkat tempatan boleh dikatakan sungguh baik.
"Saya tak perlu melalui PCCC kerana lawatan saya di sini hanya dengan rakyat...itu tujuan saya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama UMNO Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mengulas lanjut, Najib berkata pada zahirnya masyarakat Cina mula kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
"Dalam kalangan orang Cina pada zahirnya saya lihat ada perubahan besar," katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) Hong Yeam Wah menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatan bekas perdana menteri Najib Razak ke Pulau Pinang.