SEREMBAN – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sembilan merupakan MPKK pertama yang melakukan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), dalam Majlis Kursus Induksi MPKK di Ballroom Royale Chulan Seremban di sini, semalam.
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri ini, Hairuzam Mohmad Amin.
Menurut Aminuddin, MPKK yang ada sekarang ini merupakan jentera akar umbi masyarakat yang perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintergriti.
"Amanah yang diberi ini sangat besar dan terlalu banyak cabaran yang perlu dilalui, jadi jalankanlah amanah ini dengan baik, jangan sesekali melakukan perkara yang bertentangan dengan etika kerja kita.
"Jika mahu meminta sumbangan kepada mana-mana pihak, itu saya tidak halang, tetapi perlu pastikan duit sumbangan yang dapat itu dimasukkan terus ke dalam akaun MPKK, jangan pula ke tempat lain, kita kena buktikan MPKK baru ini adalah yang terbaik, kalau boleh kita pamerkan setiap keluar masuk duit agar kita boleh jadi benar-benar telus,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK dan Kursus Induksi MPKK di Royale Chulan Seremban di sini semalam.
Pada program itu, lebih 500 MPKK membabitkan Pengerusi dan Setiausaha terlibat dalam kursus tersebut yang memberi fokus untuk membimbing dan mengurus tadbir kampung masing-masing.
Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan kepada semua MPKK agar menjalinkan hubungan baik dengan semua agensi kerajaan terutamanya Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), agar banyak perkara dapat diselesaikan secara bersama.
Katanya, beliau akui ada segelintir jabatan dan juga MPKK masih lagi mempunyai masalah hubungan komunikasi, dan perkara seperti ini perlu diselesaikan segara.
"Kita tahu ada MPKK yang tidak biasa untuk berurusan dengan penjawat awam, dan mereka kurang berkomunikasi, saya berharap selepas kursus induksi ini, masing-masing dapat memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing.
"Jika ada mana-mana jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mahu memberi kerjasama dengan MPKK, mereka boleh membuat laporan serta aduan terus ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kerana agensi ini seharusnya membantu MPKK termasuk bekerjasama menjalankan aktiviti,” katanya.