KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memburu dua suspek yang menyamun seorang wanita warga emas di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sekitar jam 12.30 tengah hari, pihaknya mengesan satu klip video berdurasi 17 saat memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial.
Iklan
Iklan
"Kejadian samun ini berlaku pada hari yang sama (Sabtu), lebih kurang jam 9 pagi di mana suspek adalah dua lelaki warga tempatan yang bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.
"Aksi di dalam video tersebut menunjukkan suspek telah menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan dengan menggunakan gunting pemotong (cutter) sebelum melarikan diri menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semasa kejadian mangsa yang berusia 77 tahun itu ingin keluar makan bersama anaknya.
"Mangsa mengalami cedera ringan di bahagian tangan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM25,000,"katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon saksi kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 0132165881 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 0321450584/585 bagi membantu siasatan.