KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) menjelang Ramadan tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menghantar surat permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melanjutkan program yang sepatutnya tamat pada hujung Mac ini.
"Kerajaan benarkan untuk melanjutkan program ini, namun KPDNHEP perlu memperhalusi supaya program ini lebih mudah dijalankan dan lebih menyeluruh.
"Program ini kita boleh jalankan kerana sekarang ada ramai wakil rakyat dan pemain industri yang memang suka datang untuk bersama dalam program ini.
"Memandangkan program ini dapat memberi yang terbaik kepada rakyat dan membantu mengurangkan bebanan kos yang semakin meningkat, saya amat menghargai mereka yang sukarela membantu kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) Tahun 2022 di sini, pada Sabtu.
Ditanya tentang 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian yang diterima KPDNHEP setakat 28 Februari 2022, beliau berkata, lebih 90 peratus aduan berjaya diselesaikan.
"Yang selebihnya (kita masih) bergantung pada maklumat yang tidak lengkap.
"Setiap aduan (kita ada) prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagaimana kita akan memberi respon terhadap aduan berkenaan menggunakan kaedah terbaik.
"Jadi kita siasat dan akan ambil tindakan sesuai, terutama mereka yang terlibat didapati melakukan kesalahan, kita ada undang-undang yang boleh digunakan agar ia tidak berulang dan supaya orang lain tidak akan membuat kesalahan yang sama," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai HPK Tahun 2022 yang mengangkat tema Digitalisasi Pengguna, Alexander berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak antara 30 hingga 50 peratus bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.
Katanya, sehingga 15 Mac 2022, sejumlah 3,347 peniaga telah mengadaptasi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).
"Dijangka menjelang akhir tahun 2025, seramai 15,000 peniaga seluruh Malaysia akan beralih kepada ReDI," jelasnya.