MELAKA - Projek River Lights di sini akan menjadi platform kebangkitan semula artis visual, seni cahaya dan persembahan di Melaka yang sebelum ini berehat panjang akibat pandemik Covid-19.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, setakat ini projek itu berjaya menghimpunkan lebih 30 artis daripada pelbagai medium persembahan seperti seni arca, anyaman dan persembahan pentas.
"Macam projek ini (River Lights), ramai ingat ia pencahayaan lampu yang diletakkan di sepanjang tebing Sungai Melaka ini tetapi sebenarnya tidak. Kita tampilkan seni kontemporari pencahayaan dalam bentuk arca," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian program Earth Hour dan Projek River Lights oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V.P Shanmugam di Taman SDG, Jalan Melaka Sentral di sini malam tadi.
Zainal berkata, MBMB yakin projek tersebut akan memberi semangat kepada artis seni kreatif di negeri ini untuk kembali bekerja, menghasilkan reka bentuk dan persembahan yang lebih unik bagi tatapan pengunjung.
Beliau berkata, Projek River Lights itu terdiri daripada pemasangan seni arca interaktif dan program jangkauan pelbagai seni diilhamkan daripada Sungai Melaka, yang berteraskan air sebagai sumber kehidupan dan perhubungan.
Menurut Zainal, arca HOPE dan pemetaan cahaya oleh filamen bersaiz 10 meter x 2 meter yang didirikan di tebing Sungai Melaka Fasa II juga merujuk kepada sejarah sosial Melaka secara kolektif yang diadun secara kreatif, berwarna warni dan berinteraktif.
Selain Projek River Lights, Taman SDG tersebut juga akan menjadi ruang kepada artis busker atau penghibur jalanan untuk membuat persembahan sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke lokasi itu terutama pada malam hujung minggu.
"Ada lebih banyak pengisian yang sedang kita rancang termasuk menambah arca dengan kerjasama seperti Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), pelopor program Art In The City dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Think City. Kita akan tambah baik secara berperingkat.
"Kita akan buat secara berterusan. Kawasan yang dibuka sebagai lokasi bersantai dan swafoto ini akan dapat hidupkan lagi persekitaran di sini sebagai satu ruang baharu kepada orang awam dan pelancong luar terutama menjelang fasa endemik," katanya. - Bernama