TEMERLOH - Seorang warga emas cedera ringan dalam kebakaran membabitkan empat buah rumah di Taman Lee Chan dekat Mentakab di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian tersebut, tiga buah rumah separuh kekal musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah musnah kira-kira 50 peratus.
Ketua Bomba Zon Dua, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, mangsa seorang lelaki berusia 67 tahun berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 6.31 petang.
"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab serta dibantu BBP Bukit Angin dan Temerloh bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 19 anggota bersama tiga buah jentera pemadam dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Operasi berjaya dikawal pada jam 7.11 petang dan berakhir pada 10.06 malam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, ketika kejadian semua rumah tiada penghuni kecuali warga emas tersebut.
"Mangsa telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk rawatan selanjutnya," tambahnya.