PATI bina terowong khas bawah rumah

Iklan
Cubaan seorang PATI meloloskan diri menggunakan laluan rahsia di bawah rumah ketika diserbu Imigresen Kuala Lumpur, di Pantai Dalam awal pagi Ahad.

KUALA LUMPUR - Tindakan berani pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pantai Dalam yang membina laluan rahsia untuk meloloskan diri jika diserbu pihak berkuasa terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) awal pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Melalui Ops Sapu jam 2 pagi itu didapati penempatan setinggan berkenaan mempunyai laluan bawah rumah yang ditutupi dengan lapisan kayu.

Penghuni terbabit disyaki menggali tanah di bawah rumah untuk menyukarkan tindakan pihak berkuasa kerana 'lorong khas' itu berada di kawasan lopak air dan berlecak.

Iklan

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menahan PATI yang leka bermain judi daun terup selain menemui peralatan disyaki untuk menghisap dadah.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi Imigresen Kuala Lumpur bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu menahan 93 warga asing terdiri daripada 47 lelaki, 33 wanita, 10 kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 60 tahun.

Iklan
Imigresen menahan 93 PATI dalam Ops Sapu di kawasan penempatan PATI di Pantai Dalam, Kuala Lumpur awal pagi Ahad.

"Daripada jumlah itu, 62 individu yang ditahan merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi warga lelaki Myanmar.

"Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen sah serta tinggal lebih masa,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pada awal pagi Ahad.

Syamsul Badrin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

Katanya, kebanyakan PATI yang ditahan bekerja sebagai buruh binaan, tukang cuci dan mengambil upah membuat kuih.

"Siasatan awal mendapati PATI menyewa rumah terbabit pada harga RM200 hingga RM300 sebulan untuk satu bilik di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa pernah menyerbu kawasan setinggan itu termasuk pada tahun 2015.

"Kini mereka membina ‘terowong khas’ di bawah rumah serta laluan tikus sebagai persediaan melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.