Setia bantu jaga Amran Tompel hingga akhir hayat

Iklan
Gambar kenangan Anas Salmee (empat dari kiri) bersama Allahyarham AR Tompel dan empat anak mereka.

SEREMBAN - Bekas isteri pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel tetap setia membantu anak-anak menjaga dan menguruskan Allahyarham hingga akhir hayat pelakon terbabit.

Iklan
Iklan

Anas Salmee Syed Mohamad, 53, mula menjaga Allahyarham Amran Tompel atau namanya, Amran Tompel Ramlie, 72, selepas tahap kesihatan bekas suaminya itu semakin merosot pada hujung tahun lepas.

Anas Salmee memberitahu, beliau berulang-alik dari rumahnya di Taman Seremban Jaya dekat sini untuk menguruskan arwah ketika anak-anak sedang bekerja selepas arwah diserang angin ahmar kali ketiga pada Mac 2020 yang menyebabkannya terlantar.

Iklan

"Bagaimanapun, saya mengambil keputusan menjaga arwah bersama anak-anak di sini selepas keadaan kesihatannya semakin merosot hujung tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height, Senawang pada Ahad.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 5.20 petang oleh pegawai perubatan yang datang ke rumah sebaik mendapati Allahyarham tidak memberikan sebarang respon kira-kira jam 4.40 petang.

Iklan

Jenazah Amran Tompel selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang kira-kira jam 10 malam Sabtu.

Dalam pada itu, Anas Salmee memberitahu Allahyarham Amran Tompel tidak banyak kerenah dan mudah dijaga sepanjang sakit terlantar.

Anas Salmee

"Rutin harian saya setiap hari selepas solat subuh ialah memastikan arwah bersarapan dan mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan.

Bagaimanapun, sejak beberapa hari ini arwah agak murung dan tidak memberikan respon seperti biasa serta tiada selera makan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa masih setia menjaga Allahyarham Amran Tompel walapun sudah berpisah, Anas Salmee mengakui masih menyayangi bekas suaminya itu dan menghargai semua kenangan susah senang bersama.

" Kami pernah rasa susah, jatuh bangun bersama mencari rezeki demi membesarkan anak-anak selepas rezekinya dalam bidang lakonan tidak menyebelahinya walaupun arwah begitu meminati bidang tersebut.

"Hubungan saya dengan arwah selepas berpisah pada Mei 2015 tetap baik malah kami sering bertanya khabar dan banyak kenangan saya bersamanya tidak mungkin dilupakan. Kini berakhir sudah urusan arwah di dunia dan kami bersyukur dapat mengurus dan menjaga arwah sehingga akhir hayatnya," katanya.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini terlantar sakit akibat serangan angin ahmar selain sakit jantung dan darah tinggi.

Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun kerana sakit tua.

Allahyarham yang aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 1990-an meninggalkan empat anak berusia antara 22 hingga 29 tahun dan Amran merupakan anak kepada pelakon, pelawak serta pengarah Allahyarham AR Tompel.