TAPAH - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan bas ekspres di Kilometer 1, Jalan Changkat Sulaiman, Sungkai di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Mohd Rapinge Rasidi, 72, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan melibatkan bas yang membawa 10 penumpang dari Lumut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.
"Siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian, bas terbabit bergesel dengan motosikal mangsa yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri jalan.
"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Kesemua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu berusia 34 tahun.
"Tiada tangkapan dilakukan dan kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom. Kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.