Projek tebatan banjir bantu tangani krisis bekalan air di Selangor

Iklan
Izham (kiri) melawat galeri lukisan semasa mengadakan lawatan di Kelong Paradise Sabak Bernam pada Ahad.

SABAK BERNAM - Projek tebatan banjir yang bakal dilaksanakan di Selangor dijangka dapat membantu menangani krisis bekalan air termasuk kemungkinan fenomena kemarau panjang yang dijangka melanda negara pada tahun 2025.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, projek tebatan itu adalah penyelesaian kepada isu banjir dan pengurusan sumber air di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Strategi kita ialah bagaimana menguruskan banjir dan kemarau selain pengurusan sumber air disimpan sama ada di tasik, kolam atau pun terowong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Lawatan ke Kelong Paradise Sabak Bernam di sini pada Ahad.

Iklan

Izham berkata, perkara itu sudah dibentang beliau semasa Pemukiman (Retreat) Exco Kerajaan Negeri Selangor di Langkawi, Kedah pada 23 Februari lalu.

Katanya, selain itu, sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi mendalamkan, mengukuhkan ban dan struktur Sungai Klang.

Iklan

"Kita juga memerlukan terowong khas sekitar perbelanjaan RM1 bilion bagi meningkatkan aliran air di kawasan terlibat," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, keseluruhan pembangunan Sungai Klang sahaja memerlukan peruntukan sebanyak RM2 bilion termasuk tempat pemprosesan rawatan air di Pulau Indah.

"Ini adalah penyelesaian secara holistik dan tempoh pelaksanaan projek terlibat mengambil masa lebih setahun," katanya.