ALOR SETAR - Solat berjemaah, solat Jumaat dan solat sunat tarawih tanpa penjarakan fizikal dibenarkan di semua masjid dan surau di Kedah berkuat kuasa pada 1 April ini selaras dengan fasa peralihan endemik.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran merapatkan saf itu mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menurutnya, pelaksanaan solat jenazah turut dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.
"Aktiviti ibadah di masjid dan surau di negeri ini selepas tarikh tersebut berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Penjarakan fizikal masih diwajibkan bagi aktiviti lain selain solat berjemaah antaranya jamuan makan, gotong-royong dan kenduri dengan penjarakan fizikal sekurang-kurang satu meter. Wirid dan doa selepas solat dilaksanakan secara ringkas dan bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.
Mohd Yusri berkata, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh juga masih mengekalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
"Pihak masjid atau surau digalakkan menyediakan makanan secara berbungkus. Program Ihya Ramadan seperti kuliah, tadarus al-Quran, qiamullail dan iktikaf serta lain-lain aktiviti pengimarahan perlu dilakukan dengan penjarakan fizikal.
"Khutbah, ceramah, kuliah dan kelas pengajian di masjid serta surau juga dilaksanakan dengan pematuhan SOP dalam tempoh bersesuaian. Ini termasuk majlis akad nikah di masjid, mereka yang hadir perlu mematuhi SOP,” katanya.
Beliau berkata, hanya jemaah yang tidak mempunyai gejala Covid-19 dibenarkan untuk hadir secara semuka.
Menurutnya, pihak masjid atau surau juga perlu menyediakan imbasan QR Code MySejahtera untuk kemudahan jemaah melakukan imbasan sebelum memasuki tempat ibadat tersebut.
"Mereka yang tidak mempunyai telefon pintar atau kawasan liputan internet yang lemah, pihak masjid perlu menyediakan buku log serta menyediakan cecair sanitasi tangan. Sepanjang berada di premis pula setiap jemaah perlu memakai pelitup muka,” jelasnya.
Tambahnya, bagi pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19 perlu dilaksanakan dengan mengutamakan langkah yang ditetapkan untuk pencegahan wabak itu.
"Amalan ziarah kubur pula perlu dilaksanakan tanpa kumpulan yang sesak, dengan memastikan penjarakan fizikal minimum satu meter,” katanya.