SABAK BERNAM - Satu pasukan khas akan ditubuhkan di negeri ini untuk memantau cerun yang berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pasukan berkenaan akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia berikutan kejadian tanah runtuh yang dianggap isu serius dan perlu ditangani.
Menurut beliau, perkara itu sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco dan satu mesyuarat khas berkaitan perkara itu akan dilaksanakan kerana isu ini tidak diselia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR)
"Hujan berterusan dan tidak menentu menyebabkan pergerakan tanah di cerun dan berpotensi berlaku tanah runtuh.
"Jadi perlu ada kajian bagi memastikan kategori kritikal diberi keutamaan segera," katanya pada Majlis Perasmian dan Lawatan ke Kelong Paradise Sabak Bernam di sini pada Ahad.
Izham memberitahu, kerajaan negeri juga mengadakan kerjasama dengan anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), SELGEM Sdn Bhd (SELGEM) yang akan membuat kajian untuk melihat cerun yang berpotensi dan berisiko runtuh.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor mengenal pasti lebih 150 cerun berisiko tinggi berlaku tanah runtuh terutama di sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat.