BALING - Penerima anugerah tertinggi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) kali ke-23, Hanis Sofia Mohd Norazlan menyifatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika pandemik Covid-19 sebagai cabaran terbesar sebelum berjaya menamatkan pengajiannya.
Menurut gadis berusia 24 tahun itu, PdP secara dalam talian begitu menguji mental dan fizikalnya berbanding secara bersemuka, kerana perlu berusaha lebih untuk memberikan tumpuan kepada pengajaran.
"Agak sukar sebenarnya untuk belajar secara dalam talian berbanding secara bersemuka, apatah lagi dengan gangguan liputan internet selain faktor-faktor lain yang sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk belajar.
"Bagi saya sepanjang tiga tahun setengah ini, itulah cabaran terbesar yang perlu saya hadapi, paling kritikal dan sangat mencabar mental dan fizikal, sebab kalau bersemuka kita lebih mudah fokus,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di Kuala Ketil pada Ahad..
Siswazah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian (Kewangan dan Perbankan Islam) itu menerima anugerah tertinggi, Jaizah Imtiyaz Tuanku Canselor atas pencapaian cemerlangnya memperoleh Purata Matagred Keseluruhan (PMK) 4.0.
Beliau mendapat keputusan gred A bagi semua 45 mata pelajaran yang diambil sepanjang tempoh tujuh semester pengajian.
Berasal dari Taiping, Perak, Hanis Sofia bersyukur kerana berjaya mengatasi cabaran PdP dalam tempoh pandemik, selain gembira berjaya menunaikan impian kedua ibu bapanya yang mahu anak mereka mendapat penghargaan kelas pertama di institusi pengajian tinggi.
"Itu juga merupakan salah satu dorongan kepada saya untuk mencapai kecemerlangan, kerana ia adalah hasrat kedua ibu bapa saya, jadi kejayaan ini merupakan hadiah untuk mereka,” kata anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu.
Dia kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang sains pentadbiran di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok dan berhasrat untuk terus menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
Hanis Sofia membawa pulang wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan kurniaan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Sebelum itu, Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UniSHAMS menyempurnakan istiadat konvokesyen tersebut secara maya. - Bernama