PELUMBA negara, Mohd Helmi Azam berazam untuk meneruskan momentum kemenangannya setelah muncul juara bagi perlumbaan ke-2 Pusingan 1 Asia Road Racing Championship (ARRC) 2022 bagi kelas SS600 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada Ahad.
Menurut pelumba Boon Siew Honda Racing berusia 23 tahun itu, kemenangan berkenaan diharap dapat membantunya untuk bersedia mengharungi perlumbaan akan datang dan seterusnya melakar kejayaan lebih bermakna kelak.
Mengulas lanjut, Mohd Helmi berkata, dia sangat teruja dengan kemenangan itu setelah menanti sejak sekian lama untuk merealisasikannya.
Justeru katanya, kemenangan berkenaan ditujukan khas buat seluruh kru pasukan termasuk keluarga serta peminat yang banyak memberikan sokongan kepadanya selama ini.
"Alhamdulillah, pertamanya terima kasih kepada pasukan yang banyak membantu persiapan dan pada perlumbaan ini saya hanya mengikuti Andi (Izdihar).
"Setelah dia terbabas, saya mengambil peluang untuk memintas dan mengambil alih kedudukan dengan mengekalkan 'laptime' saya menuju ke garisan penamat,” katanya sejurus tamat perlumbaan pada Ahad.
Untuk rekod, Mohd Helmi memenangi perlumbaan berkenaan dengan mencatatkan masa 19:59.528 saat diikuti pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat (20:04.429 saat) dan pelumba SIC Racing, Mohd Ibrahim Mohd Norrodin atau lebih mesra disapa Baim, menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga dengan catatan 20:04.686 saat.
Seorang lagi pelumba Boon Siew Honda Racing, Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali sebagai SuperKip, sekadar berpuas hati menamatkan perlumbaan berkenaan pada kedudukan kelima.
Sementara itu, bagi pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing, Mohd Zaqhwan Zaini sekadar menamatkan perlumbaan bagi kelas SS1000 pada kedudukan kedua, setelah tewas kepada pelumba Jepun, Haruki Noguchi.
"Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki walaupun saya hanya menamatkan perlumbaan pada tempat kedua, tetapi sasaran untuk ke podium tercapai, itu yang penting.
"Saya akui ada melakukan sedikit kesilapan pada perlumbaan dan menyebabkan pada mulanya saya melihat agak sukar untuk merebut podium, tetapi akhirnya saya berjaya menamatkan perlumbaan dan sekaligus menaiki podium,” katanya.