MOSUL - IRAQ. Hampir 100 orang dilapor maut apabila feri membawa kira-kira 200 pelancong tempatan yang menyambut Nowruz, Tahun Baharu Kurdis karam di sungai Tigris, berhampiran Mosul, semalam.
Feri tersebut dikatakan dalam perjalanan menuju Pulau Umm Rabaen, sebuah destinasi popular dalam kalangan pelancong tempatan, apabila ia terbalik lalu karam dibawa arus deras sungai terbabit.
Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi yang melawat mangsa di hospital mengumumkan perkabungan negara selama tiga hari, serta mengarahkan siasatan segera dilakukan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Saad Maan berkata, 94 orang maut termasuk 19 kanak-kanak, manakala 55 yang lain berjaya diselamatkan.
"Feri membawa terlalu ramai penumpang dan air mula memasuki feri sebelum ia terbalik," kata seorang penumpang sambil menambah dia melihat sendiri di depan mata, mayat kanak-kanak di dalam air.
Sementara itu, seorang saksi kejadian berkata, dia melihat feri berkenaan mula bergoyang kanan dan kiri sebelum karam.
Menurut pihak berkuasa, terlebih muatan merupakan antara punca feri malang tersebut karam. - AFP/BBC/AL JAZEERA