SKUAD karate negara yang kini dalam persediaan menghadapi Sukan SEA Hanoi, menggondol lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa di Kejohanan Asia Tenggara, yang menutup tirainya pada Ahad.
Pada hari terakhir kejohanan berlangsung di Royal University Phnom Penh, Kemboja, skuad negara menambah pingat emas menerusi pasukan kumite lelaki dengan mengalahkan Vietnam 3-1 pada perlawanan akhir.
Pasukan terdiri daripada R Sharmendran, S Prem Kumar, H Sureeya Sankar, G Kathish, Muhammad Arif Afifuddin, V Kueggen dan S Geerijaieswaran.
Empat emas Malaysia lain juga disumbangkan menerusi acara kumite.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia, Prem Kumar, menang kategori lelaki 55 kilogram (kg) ke bawah selepas mengalahkan atlet Vietnam Trav Van Vu, 9-1, manakala C Shahmalarani menjuarai kategori wanita bawah 50kg, dengan mengalahkan seorang lagi atlet Vietnam dinh Thi Huong, 5-4.
Dalam acara akhir lelaki bawah 60kg, Kueggen ternyata bukan lawan atlet tuan rumah Ly Kouy Hav dengan menang 12-3, manakala Sureeya Sankar menewaskan Dang Hong Son dari Vietnam 12-4 dalam acara lelaki bawah 67kg.
Pingat perak disumbangkan M Mathivani (wanita bawah 61kg), A Denishroy (lelaki atas 84kg) dan Kathish (lelaki bawah 84kg), manakala gangsa dimenangi Amirah Syahirah Azlan (wanita bawah 68kg) dan Muhammad Arif (lelaki bawah 75kg).
Pasukan Kata pula membawa pulang pingat gangsa daripada Muhamad Aiqal Asmadie (individu lelaki) dam Lovelly Anne Robert (individu wanita).
Malaysia, diwakili 17 atlet menamatkan kejohanan itu di tempat ketiga di belakang pendahulu Vietnam (5 emas, 3 perak, 6 gangsa), dan Indonesia (5-3-6), manakala tuan rumah Kemboja keempat (1-1-5), diikuti Thailand (0-3-6), Filipina (0-1-2) dan Laos (0-0-2). Singapura dan Brunei, gagal membawa pulang sebarang pingat.
Pada Sukan SEA Filipina 2019, Malaysia menjadi juara keseluruhan dengan memenangi empat emas dan empat perak daripada 13 acara dipertandingkan. - Bernama