PADA penghujung bulan ini, begitu banyak jemputan dan majlis diadakan. Semuanya nak diselesaikan sebelum ketibaan Ramadan. Antaranya sudah pastilah majlis perkahwinan yang rancak diadakan di sana-sini.
Banyak jemputan kahwin yang diterima namun tidak perlulah pergi semua. Dalam menuju fasa endemik ini, kita digalakkan memilih hadir pada majlis yang tertentu sahaja seperti melibatkan keluarga, saudara-mara, jiran tetangga atau sahabat rapat.
Cerita mengenai majlis kahwin, baru-baru ini netizen tertarik dengan teguran ‘sayang’ yang diberikan Ustazah Sharifah Zahidah Syed Noh mengenai pengantin yang malu-malu ketika diminta bersalaman dengan suami buat pertama kali.
Seolah-olah sudah menjadi trend video yang menunjukkan pengantin perempuan menggeletar, tarik-tarik tangan, cuit sikit-sikit dan akhirnya gelak-gelak apabila bersentuhan dengan lelaki yang sudah pun sah bergelar suami.
Tulis Ustazah Sharifah Zahidah:"Saya teringat Syeikh saya di Syria dulu pernah berpesan, Muslimah sejati apabila mereka berasa malu, ia terserlah pada wajah mereka dan bukannya tindakan yang tidak sepatutnya. Tetapi orang tahu dan orang menghormati mereka kerana mengetahuinya.
Sama seperti kisah Musa dengan anak perempuan Nabi Syuib A.S."Pesanan akhir beliau, jika anda benar-benar berasa segan, tidak akan ketawa kerana malu. Malu adalah satu tindakan yang menaikkan semangat wanita. Terkekek-kekek kerana malu hanya menjadikan wanita sasaran untuk jenaka yang buruk dan tidak wajar.
Pandangan tersebut ada benarnya. Pada mulanya nampak sweet kerana menunjukkan ‘betapa Muslimahnya’ wanita itu, tapi lama-kelamaan apabila baca komen netizen, ia menjadi perkara yang tidak manis untuk dibincangkan.
Jika malu, tidak perlu dirakam adegan itu atau lakukan sahaja acara bersalaman di dalam bilik tertutup disaksikan oleh ibu bapa kedua belah pihak. Itu lebih baik.
Bak kata Ustazah Sharifah Zahidah, wanita yang high class adalah wanita yang setiap gerak-gerinya terpandu dan membuatkan dia mendapat lebih banyak penghormatan daripada orang. Bukan jadi bahan usikan-usikan nakal orang sekeliling.