JAIS mula gantung tugas guru KAFA tolak vaksin

Iklan
JAIS mula mengambil tindakan tegas kepada guru-guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mula mengambil tindakan tegas kepada guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19 dengan menggantung tugas mereka selama dua bulan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jika pihak terbabit masih tidak melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tersebut, mereka juga boleh ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksinasi.

"Ini isu lama berkenaan titah baginda yang mengarahkan guru-guru KAFA wajib ambil vaksin. JAIS juga ada keluarkan pekeliling, semua peluang kita beri.

Iklan

"Tapi mereka tidak mahu ikut, maka mereka digantung tugas selama dua bulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Shahzihan berkata, tempoh penggantungan tersebut merupakan peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA tersebut untuk melengkapkan pengambilan dos vaksin Covid-19.

Iklan

Namun begitu, terdapat segelintir pihak enggan mematuhi ketetapan yang ditetapkan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikuti arahan daripada kerajaan Persekutuan secara terus.

"Jadi, ini tidak bagus sebab mungkin JAIS sudah terlalu berlembut tentang perkara ini.

"Kita boleh gantung (tugas guru KAFA) lebih lama, tapi kita tidak mahu kerana ia memberi kesan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP),” katanya.

Mohd Shahzihan Ahmad