Trend guna babak keterlaluan promosi drama, filem membimbangkan

Iklan
Tangkap layar video klip yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

KUALA LUMPUR -"Ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat buat industri.”

Demikian tegas pengarah popular tanah air Along Kamaludin berhubung penggunaan klip video kontroversi sebagai teaser atau iklan acah sebuah drama tempatan yang dimuat naik oleh pelakon Zul Ariffin ke laman Instagramnya baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Along atau nama sebenarnya Shahrom Kamaludin, 56, yang sudah bergiat dalam bidang seni selama 37 tahun, mengakui kecewa dengan insiden itu yang baginya bukan sahaja mengaibkan industri tetapi turut mencemarkan imej agama Islam.

Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik rakaman babak tersebut yang menurutnya memang jelas tidak akan disiarkan oleh stesen penyiaran tempatan.

Iklan

"Biasanya stesen televisyen akan membuat tapisan sebelum sesuatu drama itu dihasilkan atau disiarkan berdasarkan pada perbincangan bersama pengarah dan stesen televisyen mengikut garis panduan yang ditetapkan LPF (Lembaga Penapisan Filem).

"Saya yakin stesen televisyen tidak akan meluluskan adegan sebegitu atau benarkan pengarah buat sesuka hati asalkan dramanya ‘trending’. Jadi, mengapa ada sesetengah pengarah masih lagi buat sekiranya babak tersebut tidak akan dikeluarkan atau disiarkan?” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

TREND PROMOSI MEMBIMBANGKAN

Minggu lepas, dunia hiburan tanah air kecoh apabila Zul memuat naik iklan acah menampilkan babak"panas” ala filem barat lakonannya bersama pelakon baharu Siti Hariesa, dipercayai bagi mempromosikan drama berjudul ‘Perempuan itu’, arahan Ain Sharif yang dijadualkan untuk siaran semasa Ramadan ini.

Insiden itu mencetuskan kecaman masyarakat, bukan sahaja terhadap pelakon lelaki berkenaan tetapi juga kepada penerbit Erma Fatima yang disangkakan umum adalah pengarah drama tersebut.

Malah, isu berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin negara serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melihat senario itu sebagai sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam selain tidak peka dengan sensitiviti budaya masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menerusi Facebook miliknya, berkata beliau akan menghubungi pihak yang berkenaan bagi memberi nasihat, sementara Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa dalam hantaran melalui Twitter pula menegaskan adegan sedemikian tidak akan dibenarkan ditayang kepada umum, baik semasa Ramadan mahupun pada bulan-bulan lain.

Kecaman hebat masyarakat menyebabkan Zul memadamkan klip video tersebut yang ketika itu sudah mencecah lebih 700,000 tontonan dan menerima lebih 12,000 komen. Pelakon berkenaan turut meminta maaf.

Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan Ain dipetik berkata adegan yang dikongsikan oleh Zul itu merupakan babak versi kedua dan sekadar untuk publisiti.

TIDAK ADA TAPISAN

Mengulas lanjut isu itu, Along berkata pemerhatiannya mendapati ramai penggiat seni, baik pelakon, pengarah mahupun penerbit menggunakan cara sedemikian dewasa ini bagi menarik perhatian masyarakat, sama ada untuk cepat popular, menambah jumlah pengikut media sosial masing-masing atau mempopularkan kembali mereka yang mungkin sudah"suam-suam kuku”.

Along yang memulakan karier seninya sebagai pelakon sebelum terlibat dalam bidang pengarahan pada 1998, mengakui ada pengarah baharu yang cuba mengambil jalan singkat untuk memperkenalkan diri dengan menghasilkan babak sedemikian.

Untuk menjadi pengarah yang bagus, seseorang perlu menimba pengalaman dan ilmu selain meningkatkan kreativiti yang semuanya mengambil masa, tegas beliau dan menambah penggiat seni juga perlu jujur dalam menghasilkan karya masing-masing.

"Saya hendak nasihatkan rakan industri, sebelum kita buat sesuatu, fikirkan dulu implikasinya.

"Kita ada garis panduan LPF, mengapa tidak ikut? Apa yang saya bimbangkan, apabila ia dipromosikan di media sosial milik pelakon atau mana-mana penggiat seni, di situ tidak ada tapisan sepertimana di stesen televisyen, dan bayangkan apabila yang menontonnya kanak-kanak,” katanya.

Kebimbangan beliau ada asasnya memandangkan artis merupakan tokoh masyarakat yang sentiasa menjadi tumpuan ramai khususnya peminat mereka.

Malah, ada yang menjadikan golongan ini sebagai idola dengan meniru apa sahaja yang dilakukan oleh pelakon dan artis pujaan mereka, termasuk dari segi fesyen dan lain-lain.

TANGGUNGJAWAB BESAR

Menurut Along, selaku tokoh masyarakat, penggiat seni mempunyai tanggungjawab besar selain berpotensi tinggi dalam pembentukan jati diri dan identiti sesebuah masyarakat.

Justeru katanya amat penting bagi seseorang pelakon, penyanyi, pengarah dan sesiapa sahaja berhati-hati dengan apa yang ingin dikongsikan atau dimuat naik ke laman media sosial mereka.

"Tiada siapa yang boleh halang apabila kita hendak berkongsi sesuatu di media sosial, namun kita kena timbang dahulu sama ada ia wajar dikongsikan bersama peminat atau sebaliknya,” ujar beliau, menambah jangan sudah terhantuk baru terngadah, merujuk kepada akibat yang kini ditanggung oleh Zul.

Pelakon itu akan disiasat menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran Instagram yang menyalahi undang-undang. Seksyen ini merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sekiranya disabitkan kesalahan, seseorang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Walaupun bersetuju dengan tindakan tegas tersebut, Along berpandangan pelakon itu juga wajar diberikan peluang untuk membaiki kesilapannya.

"Manusia tidak lari daripada membuat kesilapan dan tidak semestinya apabila dia melakukan kesalahan akan terus melakukan kesilapan lagi, selain kita perlu mencari akar umbinya iaitu dari mana klip video itu datang walaupun Zul yang memuatnaikkannya.

"Dia mungkin alpa dengan populariti, mungkin tidak sedar benda itu salah, maka sebaiknya kita bagilah dia peluang kerana manusia ini boleh berubah,” ujar beliau.

Pandangan sama turut diutarakan penerbit dan pengarah popular Shahrulezad Mohameddin yang berkata tindakan tegas sewajarnya dikenakan kepada semua yang terlibat dalam pembikinan babak tersebut dan bukan hanya kepada pelakon itu sahaja.

"Sudah tentu ramai yang terlibat. Bagaimanapun, sama ada perlu diharamkan atau tidak (mereka yang terlibat), saya rasa tak perlu.

"Mungkin sekadar diberi amaran keras kepada semua yang terbabit kerana ini mungkin kesalahan pertama buat mereka. Apa-apapun terpulanglah pada justifikasi kementerian (Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan pihak yang terlibat,” katanya.

FILEM KITA, WAJAH KITA

Shahrulezad yang terkenal dengan drama bersiri ’Nur’, berkata beliau juga tidak melihat teguran MenKOMM itu sebagai batasan kepada penggiat seni dalam berkarya.

"Teguran itu wajar kerana dalam apa jua perkara yang kita lakukan dalam hidup, tidak ada sesuatupun yang betul-betul bebas termasuklah dalam berkarya. Apatah lagi kita sebagai orang Islam, kenalah tahu batasan dalam berkarya,” katanya.

Sementara itu, Along menegaskan penghasilan sesebuah drama atau filem turut melambangkan identiti bangsa dan negara.

Menyifatkan drama tempatan sebagai"wajah kita”, beliau berkata sebaiknya syarikat produksi tempatan menghasilkan karya yang memaparkan identiti masyarakat tempatan kerana itulah elemen yang ingin dilihat oleh penonton luar, bukan babak panas yang menyamai filem barat.

"Tidak perlulah kita hendak ikut budaya barat dalam drama. Mereka buat adegan panas itu lebih dahsyat daripada kita kerana itu budaya mereka.

"Orang luar sebenarnya hendak tonton sesuatu yang unik bagi sesebuah negara itu dan antaranya ialah identiti dan budaya masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Along turut menyangkal persepsi bahawa filem atau drama tidak akan mendapat sambutan jika tidak ada adegan romantis seperti berpegang tangan dan sebagainya.

Memberi contoh drama bersiri arahannya ‘Cinta Si Wedding Planner’ yang dilakonkan oleh Mira Filzah dan Adi Putra, beliau berkata karyanya masih mampu meraih lebih empat juta tontonan walaupun tidak ada adegan berpegangan tangan.

"Dalam skrip itu ada menyatakan bahawa Adi berpegangan tangan dengan Mira, tetapi saya tanya dulu Mira sama ada dia mahu melakonkan adegan tersebut atau tidak sebab dia memakai tudung.

"Mira respons bolehkah sekiranya tidak berpegangan tangan, dan saya tidak ada masalah untuk mengubah skrip berkenaan dan drama tersebut tetap popular walaupun tidak ada adegan sensasi, dan bagi saya ia bergantung kepada kreativiti pengarah untuk menterjemahkannya,” katanya. - Bernama