Tambah kerusi DUN Selangor: Wajar jika atas kepentingan rakyat

Iklan
Noor Nirwandy

SHAH ALAM - Usul penambahan bilangan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu dilihat kewajarannya agar dilaksana berdasarkan kepentingan rakyat dan bukannya hanya sebagai strategi politik pihak tertentu.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, penambahan kerusi DUN itu juga tidak wajar untuk dijadikan ‘alat’ bagi menguntungkan mana-mana pihak dan alasan jumlah pengundi di sesuatu kawasan tidak boleh dijadikan sebagai sebab utama.

Iklan
Iklan

"Kepentingan penambahan DUN itu haruslah bagi memastikan fokus utama (kebajikan rakyat) dapat diberi dengan memahami keadaan, keperluan sesebuah kawasan demografi, golongan penduduk yang mendiami serta kewujudan institusi pendidikan (sosial) dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Nirwandy berkata, susulan itu kerajaan negeri perlu mewujudkan pelan penerangan kepada masyarakat bagaimana penambahan kerusi DUN itu membantu meningkatkan taraf hidup dan memudahkan pembangunan sesebuah DUN berdasarkan kepentingan sosial dan ekonomi.

Iklan

"Perkara ini memerlukan lebih banyak faktor seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), teknikal dan undang-undang yang perlu diperhalusi. Namun kita sedia maklum sebarang pertukaran atau elemen-elemen penambahan kerusi DUN selalunya berbentuk strategik dan akan menguntungkan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, mengulas ringkas mengenai perkara itu, penganalisis politik Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan Johor juga mahu melakukan perkara yang sama ketika bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad menyuarakan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

Iklan

"Sudah tiba masanya untuk Selangor dan negeri-negeri lain menilai bagi bertindak secara inovatif terhadap pertambahan pengundi dan perubahan geografi disesuaikan dengan keadaan semasa ekosistem politik tanah air,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau mengakui sudah tiba masanya DUN di negeri itu menambah bilangan kerusi baharu memandangkan jurang antara pengundi di setiap DUN kini amat berbeza khususnya dengan pelaksanaan Undi18 dan kelayakan undi automatik.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang berkata, pelaksanaan perkara itu perlu teratur dan tidak tergesa-gesa supaya tidak membebankan mana-mana pihak kerana hasil untuk kajian persempadanan semula akan digunakan bagi jangka masa panjang.

"Memang betul (perlu ada kajian persempadanan semula) sebab sudah tidak seimbang (pengundi) antara setiap DUN. Di utara Selangor iaitu tempat saya mungkin pengundi bawah 50,000 tapi di kawasan bandar ada yang mencecah 100,000 orang,” katanya.

Mohd Imran yang juga pengamal undang-undang menjelaskan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua cara bagi kajian persempadanan iaitu melibatkan kajian SPR bagi tempoh lapan tahun dan kedua ialah pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri oleh badan perundangan sama ada Parlimen di peringkat Pusat atau DUN di peringkat negeri.

"Untuk kaedah pertama itu, kita sudah buat kajian semula persempadanan pada 2018 tetapi tidak ada penambahan kerusi DUN. Selangor tetap kekal 56 DUN dan 22 Parlimen cuma sempadan sahaja berubah dan ada nama DUN yang bertukar contohnya DUN Sungai Tua dahulunya dikenali Batu Caves. Untuk opsyen ini kena tunggu tempoh lapan tahun dari kajian terakhir 2018, jadi memang tidak sampai lagi,” katanya.

Ekoran itu, Mohd Imran berpendapat usul pindaan yang akan dibawa kerajaan Selangor akan menggunakan pilihan kedua iaitu pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

"Kalau kita mengikuti ucapan penangguhan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di DUN Selangor 21 Mac lepas, memang beliau memilih opsyen kedua dengan menjelaskan prosesnya untuk mendapatkan dua pertiga majoriti yang saya rasa tidak ada masalah di DUN Selangor.

"Cuma ia nanti nak dibawa ke Parlimen dan akan ambil masa juga jika penambahan kerusi itu dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,” katanya.

Isnin lepas kerajaan Selangor bercadang untuk membawa usul menambah bilangan kerusi DUN pada persidangan yang akan datang susulan terdapat DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 75,000 hingga 100,000 bagi sesebuah kerusi.

Ketika ucapan penangguhan di akhir persidangan DUN, Amirudin menyenaraikan DUN yang dijangka mengalami perubahan kerusi antaranya Batang Kali, Gombak Setia, Teratai, Semenyih, Kajang, Balakong, Sungai Ramal, Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Seri Setia, Bukit Lanjan, Kota Damansara, Kota Anggerik, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Dengkil. - Bernama