KUALA LUMPUR – Padah bergaduh sehingga menyebabkan kematian seorang pelanggan restoran 12 tahun lalu, seorang jurujual kereta terpakai dipenjara 10 tahun dan denda RM10,000 oleh mahkamah sesyen di sini pada Isnin.
Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu kepada tertuduh, M Manimaran, 36, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula Isnin dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama dua lagi individu yang masih bebas, menyebabkan kematian P Logan Nathan, 27.
Kejadian berlaku di Jalan Telawi 2, Bangsar, di sini pada jam 2.23 pagi, 23 Mac 2010 lalu dan dia di hukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri manakala tertuduh diwakili peguam, Ashok Kandiah dan Norbindran Sivarajah.
Semasa prosidng, Ashok memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana kesal melibatkan diri dalam pergaduhan.
"Dia hanya mahu menolong rakannya dan semasa kejadian dia baru berusia 24 tahun dan hanya dituduh hampir 10 tahun kemudian.
"Walaupun jarak masa hampir sedekad, namun anak guam saya memberi kerjasama baik kepada polis malah dia tidak mempunyai kes jenayah lampau,” katanya.
Selain itu, Ashok turut memohon kepada mahkamah agar hukuman penjara berkenaan ditangguhkan.
Bagaimanapun, Abdul Khaliq Nazeri membantah permohonan itu kerana tertuduh tidak mempunyai keadaan istimewa yang mewajarkan penggantungan hukuman.
"Anggapan tidak bersalah tidak lagi wujud memandangkan mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.