Kementerian Wilayah Persekutuan tubuh Unit Kemiskinan

Iklan
Jalaluddin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat kementerian dan agensinya bagi menangani isu miskin bandar secara berterusan, Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bagi Wilayah Persekutuan Labuan, unit itu ditubuhkan di bawah Perbadanan Labuan serta bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menubuhkan pasukan petugas.

Iklan
Iklan

"Unit Kemiskinan ini merupakan satu unit baharu yang kami wujudkan untuk mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan penubuhan pasukan petugas pula sebagai persediaan bekalan barangan keperluan menjelang musim perayaan dengan sokongan agensi kerajaan serta pemborong atau kedai terpilih.

"Diharapkan segala usaha yang dirancang dan dilaksanakan ini dapat membantu menangani masalah kemiskinan di Wilayah Persekutuan Labuan terutamanya miskin bandar ekoran kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin tahu mekanisme yang direncanakan pihak kementerian dalam menangani masalah kemiskinan di Labuan terutama miskin bandar ekoran kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, Jalaluddin berkata kementerian akan menggerakkan semula Jawatankuasa Kerja Pembangunan Fizikal dan Ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan (JKPFEWPL) di bawah Menteri Wilayah Persekutuan, bagi menangani isu dan masalah semasa berkaitan pembangunan fizikal serta ekonomi termasuk perkara yang melibatkan kenaikan kos sara hidup di Labuan.

Iklan

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip sama ada Unit Kemiskinan itu boleh bekerjasama dengan pusat pungutan zakat untuk mengatasi kemiskinan bandar dalam kalangan umat Islam, Jalaluddin berkata kedua-dua unit itu mempunyai matlamat yang sama.

"Matlamat kami sama. Unit Kemiskinan ini untuk bantu bukan sahaja golongan Melayu, Islam bahkan kaum dan bangsa lain dengan tumpuan kami sama iaitu membantu golongan B40 ke bawah untuk mengatasi masalah kemiskinan.

"Di samping itu, gabungan kedua-dua unit ini saya jangka akan memaksimumkan bantuan dan menyelesaikan kemiskinan yang dihadapi masyarakat kita sekarang,” katanya. - Bernama