KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti cadangan hukuman 100 hingga 150 hari program khidmat masyarakat dikenakan kepada mereka yang mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, KPWKM berpandangan cadangan itu sesuai dilaksanakan kerana program khidmat masyarakat menggariskan tiga elemen utama iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.
"Kementerian akan meneliti lebih lanjut cadangan tersebut dalam proses semakan Akta OKU 2008," katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Negara di sini, pada Isnin.
Siti Zailah berkata, KPWKM memandang serius insiden mendiskriminasi golongan OKU terutama melalui penularan dalam media sosial, namun pewujudan remedi dan penalti yang munasabah bagi menangani isu tersebut memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.
Katanya, bagi menangani perlakuan jenayah berkenaan, undang-undang yang terpakai di Malaysia kini adalah di bawah Seksyen 233 (1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Bagi cadangan penubuhan Suruhanjaya OKU pula, Siti Zailah berkata, buat masa ini sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan sistem perundangan lain yang sedia ada.
Menyentuh perkembangan status Pelan Tindakan OKU (PTOKU) 2016-2022, katanya KPWKM sedang menganalisis pencapaian program dan tindakan yang ditetapkan dalam pelan berkenaan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada agensi peneraju bagi setiap program serta tindakan di bawah PTOKU.
"Dapatan analisis ini akan digunakan sebagai input untuk pembangunan pelan tindakan OKU yang baharu selain daripada libat urus membabitkan komuniti OKU, badan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian serta agensi yang akan diadakan," katanya. - Bernama