ISKANDAR PUTERI - Pelaksanaan solat jemaah di masjid dan surau di seluruh negeri Johor dibenarkan dengan cara merapatkan sejadah oleh para jemaah bermula 1 April ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara itu dibuat selepas perbincangan dan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selaku Ketua Agama Islam Negeri.
"Pelaksanaan solat jemaah di masjid dan surau adalah dengan cara merapatkan sejadah, tetapi tanpa bersentuhan antara jemaah lain.
"Jemaah juga hendaklah membawa sejadah sendiri yang berukuran sekurang-kurangnya 1.07 meter panjang dan 0.6 meter lebar.
"Kebenaran ini juga bagaimanapun tertakluk kepada mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya pada sidang media di Hotel Jen di sini pada Isnin.
Sebelum ini, pada Januari, pelaksanaan solat jemaah di masjid dan surau di seluruh negeri ini dibenarkan dengan jarak setengah meter antara jemaah sebagai langkah kawalan penularan Covid-19.
Mohd Fared berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga telah menetapkan beberapa prosedur dan garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti bagi mengimarahkan masjid sempena Ramadan tahun ini.
"Bagi mengimarahkan bulan Ramadan, solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir pula sebanyak tiga rakaat.
"Imam bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk ke-30 sahaja manakala imam jemputan perlu mendapatkan surat kebenaran daripada kadi daerah terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, program masyarakat seperti edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh turut dibenarkan tetapi secara bungkus sahaja.
"Selain itu, bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau pula, program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kelas takmir, taklimat dan kursus serta forum adalah dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam, termasuklah majlis zikir, selawat, wirid dan tarikat.
"Namun bagi aktiviti bermalam adalah ditangguhkan, manakala aktiviti masak-memasak masih tidak dibenarkan dengan semua jamuan dilaksanakan secara berbungkus sahaja,” katanya.
Ujarnya, sebarang pelaksanaan program dan ibadah juga masih berpegang kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia seperti memakai pelitup muka dan mendaftar di aplikasi MySejahtera.