KAMPAR - Penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tualang Sekah, Malim Nawar di sini mahu wakil rakyat kawasan mereka memberi tumpuan terhadap isu perparitan yang dihadapi sejak lebih sedekad lalu.
Ketiadaan infrastruktur itu menyebabkan lebih 200 penduduk berhadapan masalah banjir kilat, air bertakung dan terdedah dengan risiko jangkitan denggi dan chikungunya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RPT Tualang Sekah, Mohd Jefri Saharuddin berkata, penempatan penduduk yang wujud sejak tahun 1990 itu tiada sistem perparitan dan longkang mengakibatkan rumah mereka sering berlaku banjir kilat.
Katanya, penduduk di Jalan Dahlia, Mawar dan Orkid antara yang serius dinaiki air berikutan keadaan kawasan yang rendah.
"Aduan dibuat terhadap pejabat wakil rakyat berkenaan dan pejabat daerah, namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil.
"Lebih menghairankan terdapat projek longkang dibina di sebuah lorong melibatkan tiga rumah penduduk yang tidak pernah mengalami banjir kerana kawasan tinggi. Kami seolah-olah dipinggirkan dalam pembangunan infrastruktur ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.
Mohd Jefri berkata, aduan yang dilakukan kepada pihak berwajib ditolak seperti bola dengan pelbagai alasan diberikan.
"Kami dimaklumkan oleh pegawai daerah Kampar bahawa sejumlah RM3 juta diperlukan untuk perluaskan longkang. Sampai bila kami mahu tunggu dan kebanyakan penduduk dalam kalangan warga emas.
"Kami letih keadaan begini serta kehadiran haiwan seperti ular dan biawak. Selain itu, air akan surut selepas beberapa hari tetapi melihat keadaan cuaca, tidak sempat surut sudah kembali banjir," katanya.
Penduduk, Rosiah Dahalan, 62, berkata, keadaan itu meresahkannya setiap kali hujan lebat hinggakan terpaksa mencangkul tanah untuk alirkan air yang bertakung di halaman rumahnya.
"Setiap kali banjir, air najis di tandas turut melimpah hinggakan terpaksa mencedok keluar dari rumah. Keadaan berlarutan itu menyebabkan kawasan rumah penuh dengan lopak air dan berbecak.
"Lopak air ini boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Ada penduduk telah dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan kerana menemui jentik-jentik selain jatuh sakit dijangkiti penyakit bawaan nyamuk itu," katanya.
Kata Rosiah, dia berharap agar pihak terlibat segera menyelesaikan masalah itu dan mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa bersama keluarga.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa siri lawatan telah dilakukan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kampar dan wakil penduduk.
"Kerja-kerja menaik taraf infrastrutur ini akan dilakukan secara berfasa kerana peruntukannya besar dan kedudukan rumah-rumah yang berterabur kepadatannya.
"Projek naik taraf itu melibatkan peruntukan sebanyak RM195,000 dan kemajuan terkini, longkang bertingkat dan kotak pembentung sudah 100 peratus, longkang bentuk U 40 peratus dan ikat bata 30 peratus," katanya.
Menurut beliau, kerja naik taraf dilakukan sekali dengan longkang utama mengikut keperluan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Hanya tinggal rumah yang mengalami banjir di bahagian belakang melibatkan beberapa buah rumah yang masih belum diselesaikan.
"Saya sudah melawat dan kita usahakan dalamperingkat kedua. Untuk makluman, kesemua lot-lot ini memang pemilik setuju terima dan miliki tanpa infrastruktur," katanya.