SEREMBAN - Mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berseluar dan tanpa identiti ditemui dalam longkang di tepi jalan besar Jalan Tok Ungku sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mewah, Rahang pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mayat berkenaan dijumpai oleh seorang individu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di wisma Nadaraja pada jam 7.12 malam.
"Saksi terhidu bau busuk dari arah longkang dan menjumpai mayat lelaki sebelum menghubungi 999 untuk bantuan.
"Mayat itu ditemui di dalam longkang yang berkeluasan dua kaki lebar dengan kedalaman lebih kurang empat kaki dalam keadaan memakai baju berkolar dan vest bertulisan 'security' di belakang. Bagaimanapun mangsa didapati tidak memakai seluar serta tidak berselipar atau kasut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Nanda berkata, tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mayat tersebut dan di sekitar tempat kejadian malah Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai apa-apa.
"Hasil siasatan awal pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan tidak dapat memastikan punca kematian lelaki itu kerana keadaannya yang telah membengkak dan berulat.
"Lelaki ini dianggarkan telah meninggal dunia lebih kurang empat hari dan tidak dapat dipastikan sebarang unsur jenayah yang boleh mengaitkan dengan kematiannya.
"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan punca kematian akan diperolehi sehingga bedah siasat dari forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada hari ini (Isnin)," katanya.