PAPAR - Hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kukuh di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, setiap parti mempunyai kaedah di pelbagai peringkat jawatankuasa dan ada strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Saya rasa tidak renggang, kita masih dalam satu kerajaan, cuma apa yang berlaku lumrah politik, masing-masing buat pelarasan, jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas, Kinarut, di sini, pada Isnin.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian ketika diminta mengulas pandangannya berhubung kerjasama antara UMNO dan Bersatu di Sabah berikutan situasi politik di peringkat Pusat yang dilihat hangat ketika ini.
Menurut beliau, UMNO dan BN sudah ada keputusan dasar yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
"Tidak ada yang saya anggap berpatah arang berkerat rotan, terima hakikat bahawa politik mempunyai banyak kebarangkalian.
"Tiada yang tetap dalam politik, jadi kalau lihat ada satu perkara atau dasar yang diputuskan sesuatu parti pada satu-satu ketika, jangan anggap ia tetap. Keadaan mungkin berubah, kita kena pragmatik untuk maju ke depan.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu turut berkata, pucuk pimpinan mungkin akan berdepan dengan situasi yang berbeza apabila bergerak ke hadapan namun ia boleh dibincangkan.
"Kita lihat kerajaan negeri Sabah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Barisan Nasional (BN), kerajaan di Pusat Perikatan Nasional (PN)-BN dan itu sedang berjalan dengan baik.
"Apabila turun ke Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing cuba nasib masing-masing, bertanding sendiri-sendiri, hatta Pakatan Harapan (PH) juga bertanding tujuh parti berbeza," katanya.