Remaja ganti bapa imam solat jenazah adik

Iklan
Ahmad Fakhrullah (kiri) menenangkan ibunya, Nor Suriati yang sebak kehilangan Ahmad Fakhruddin akibat lemas pada Ahad.

BAGAN SERAI - Seorang remaja menggantikan bapanya mengimamkan solat jenazah adiknya yang meninggal dunia selepas ditemui lemas di Sungai Perak berhampiran Sayong Lembah di sini pada Ahad.

Pelajar Maahad Al-Ehya Asshariff, Ahmad Fakhrullah Ahmad Farid, 17, menganggap ia tanggungjawab mengganti bapanya, Ahmad Farid Faleh, 44, yang kini sedang menunaikan umrah.

Iklan
Iklan

Adik Ahmad Fakhrullah, Ahmad Fakhruddin Ahmad Farid, 10, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ditemukan tersangkut di kawasan rumput di tengah sungai kira-kira jam 7.15 pagi Isnin.

Menurut Ahmad Fakhrullah, dia sendiri mahu mengimamkan solat jenazah adiknya dan disaksikan bapa menerusi panggilan video.

Iklan

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan sempurna tanpa rasa kekok. Sekurang-kurangnya ini yang boleh saya lakukan untuk adik buat kali terakhir," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Jalan Kubu Gajah, Gunung Semanggol di sini pada Isnin.

Jenazah Ahmad Fakhruddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid At Taqwa di sini.

Iklan

Menurut Ahmad Fakhrullah, dia sempat mendodoikan adik bongsunya itu ketika tidur bersama sebelum kejadian.

"Kebiasaannya adik tidur dengan ibu atau ayah tetapi malam itu dia mahu bersama dengan saya dan saya tepuk-tepuk supaya dia tidur.

"Pada paginya, saya turut bantu mencarinya. Apabila dapat tahu pak cik menjumpainya di sungai, saya turun membantu mengangkat jenazah adik untuk naik ke tebing," katanya.

Sementara itu, ibunya, Nor Suriati Yusoff, 44, berkata, keluarganya reda dan menganggap kehilangan 'anak syurga' itu sebagai takdir yang sudah tertulis.

"Saya menghubungi suami menerusi panggilan video supaya tidak terlepas menyaksikan arwah bermula ketika dikafankan di Hospital Kuala Kangsar sehingga selesai pengebumian.

"Suami turut mengadakan solat ghaib di Mekah. Dalam kesedihan ini, kami sama-sama memberi kekuatan antara satu sama lain sehingga suami selesai menunaikan umrah nanti," katanya.

Menurutnya, mereka pasti merindu arwah yang suka berzikir dan mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

"Walaupun dikategorikan autism, Fakhruddin cepat belajar dan menghafaz zikir, surah Yasin bermula ayat 1 hingga 5 dan doa selepas azan.

"Semua orang menyayanginya dan dia sempat beritahu ayahnya 'jumpa lagi' ketika berangkat ke Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu," katanya.