Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

Iklan
LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. - Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengekalkan kadar zakat fitrah untuk tahun ini sebanyak RM7 setiap individu Islam.

Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun berkata, penetapan kadar itu berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras super tempatan gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

"Secara tidak langsung, kita berpeluang melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Muhd Fikri berkata, bagi individu yang makan beras putih import, perang, pulut, herba ponni dan wangi pula pada kadar RM14 seorang.

"Individu yang memakan beras basmathi, beras Jepun atau beras merah pula sebanyak RM21 seorang," katanya.

Iklan

Katanya, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

"Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malah zakat harta pada bulan Ramadan, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

"Antaranya melalui, EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my atau melalui aplikasi Zakat Selangor, perbankan internet, Portal MyEg dan Pos Online, aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost," jelasnya.

Selain itu katanya, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

"Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan," katanya.