Agong berkenan lawat DSA, NATSEC 2022

Iklan
Al-Sultan Abdullah (tengah) berkenan melawat pameran DSA dan NATSEC 2022 di MITEC, Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia, serta perwakilan luar negara.

Iklan
Iklan

Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira dua jam, dengan melawat pusat pameran syarikat-syarikat pertahanan dari pelbagai negara, termasuk Deftech DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd, Mildef International Technologies dan Turkish Aerospace.

Dalam lawatan itu, baginda turut berkenaan menamakan sebuah prototaip kenderaan berperisai ‘Rentaka’ yang diilhamkan dari nama sebuah meriam Melayu lama.

Iklan
Iklan

Kenderaan seberat lebih 8,000 kilogram yang dihasilkan sepenuhnya syarikat tempatan, Mildef itu mampu digunakan bagi menyuraikan rusuhan selain berperanan sebagai kenderaan orang kenamaan ketika kecemasan. - Bernama