MUAR - Kaedah penternakan larva lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF) dijangka dapat menjadi sumber makanan alternatif untuk haiwan ternakan, sekali gus menjadi 'pengubah keadaan' bagi mengatasi kebergantungan terhadap bahan import makanan haiwan ternakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, projek menerusi Program Bioremediasi Keluarga Malaysia itu mampu mengurangkan beban pengusaha industri ternakan yang kini dibelenggu kenaikan harga dedak.
Selain itu, beliau berkata, penghasilan larva lalat tersebut juga boleh membantu mengurangkan masalah pengurusan sisa domestik dan pertanian di negara ini.
"Kami mengambil iktibar kenaikan kos makanan ternakan menggunakan bahan import yang ketika ini besar jumlahnya.
"Dengan penghasilan larva ini, ia dapat dijadikan sumber asas kepada protein yang dapat dihasilkan dengan jumlah mencukupi untuk mengawal kadar pengeluaran makanan ternak dan harga,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Bioremediasi Keluarga Malaysia di Kampung Sungai Sudah di sini pada Isnin.
Program berkenaan adalah di bawah dana Malaysia Inovasi Sosial (MyIS), MOSTI dengan agensi pelaksananya iaitu Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Muar.
Dr Adham berkata, data daripada Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan 2022 menunjukkan harga dedak meningkat 30 peratus sejak Mac 2021.
"Sebagai contoh, harga makanan kambing pada Mac tahun lepas adalah sekitar RM52 bagi setiap 50 kilogram, namun ketika ini ia meningkat kepada RM64 bagi setiap 50 kilogram,” katanya.
Menurutnya, MOSTI memainkan peranan penting dalam memantapkan penyelidikan teknologi agromakanan bagi penghasilan formulasi makanan ternakan haiwan sebagai sumber protein alternatif.
"Saya berharap potensi penternakan BSF ini dapat diterokai dan dibangunkan dengan lebih agresif bagi menjana pendapatan sampingan, selain memelihara kelestarian alam sekitar serta pengurusan sisa yang mampan,” katanya. - Bernama