Suspek kes bunuh dibawa ke lokasi baharu

Iklan
Unit K9 turut kelihatan di lokasi belukar berhampiran tangki air di taman berkenaan sejak jam 4.30 petang.

SEREMBAN - Polis membawa salah seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam penemuan mayat wanita di dalam gaung di Jalan Bukit Putus Lama, di sini, Ahad lalu ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang, di sini pada Isnin.

Sinar Harian mendapati pegawai polis wanita membawa seorang wanita dengan kepalanya ditutup masuk ke kawasan belukar berkenaan.

Iklan
Iklan

Turut kelihatan Unit Anjing Pengesan (K9) dipercayai dalam usaha mencari sesuatu yang ada kaitan dengan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, suspek dibawa ke sebuah kawasan belukar berhampiran tangki air di taman berkenaan sejak jam 4.30 petang.

Iklan

"Kita tengah menyiasat berdasarkan apa yang dia (salah seorang suspek) beritahu. Pihak polis, forensik dan patologi, doktor daripada Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pun ada di sana.

"Kita harap akan dapat sesuatu, mereka sedang berusaha," katanya ketika ditemui di lokasi pada Isnin.

Iklan

Ditanya sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan mayat di Bukit Putus, Che Zakaria berkata, ia masih dalam siasatan.

Kita masih siasat... ada atau tidak, kita tidak pasti lagi dan masih tengah mencari. Apa-apa nanti Ketua Polis Daerah Seremban akan beri maklumat jika ada apa-apa hasil penemuan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita ditemui oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging di Jalan Bukit Putus Lama jam 10.50 pagi pada 20 Mac lalu.

Susulan daripada kes berkenaan dua lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 41 dan 44 tahun manakala wanita berusia 18 tahun itu bermula pada Rabu hingga 29 Mac ini.